KUALA LUMPUR – Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya membangunkan Modul Komunikasi Risiko dan Krisis bagi institusi pendidikan tinggi (IPT) termasuk universiti awam, swasta, politeknik dan kolej komuniti.
Modul yang pertama seumpamanya ini telah dibangunkan berdasarkan hasil dapatan kajian daripada geran penyelidikan bertajuk, Komunikasi Risiko Untuk Kesihatan Awam.
Menurut Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman, modul itu di bawah pembiayaan Malaysia One Health University Network (MyOHUN) Covid-19 Supplementary Fund.
Katanya, ia juga projek penyelidikan yang disokong oleh United States Agency for International Development (USAID) One Health Workforce Next Generation (OHW-NG) project.
“Modul ini bertepatan dengan keperluan semasa apabila pembukaan kampus bulan depan. Impak penularan pandemik Covid-19 telah mengubah cara IPT berfikir dan perlu melakukan reset dalam pentadbiran dan juga pengurusan.
“Modul ini akan dilancarkan esok oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad secara dalam talian bersekali dengan webinar “Risk and Crisis communication to protect public health and institutional resilience”.
“Aspek pengurusan seperti komunikasi risiko dan komunikasi krisis perlu ditangani oleh IPT sebaik-baiknya agar ketahanan institusi dapat dilestarikan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Kata Prof. Dr. Mohd Roslan, modul itu juga mendukung konsep Menara Ilmu yang menjadi pegangan universiti dalam menggalakkan proses pemindahan ilmu dan kepakaran.
Kata beliau, brmula dengan satu kajian penyelidikan, ia dipakejkan pula sebagai modul yang dapat digunakan untuk manfaat dan kepentingan awam dan merupakan sumbangan unggul para penyelidik demi kebaikan bersama.
“Modul ini memberi panduan kepada institusi terutama IPT berkaitan amalan terbaik dan strategi yang merangkumi penilaian risiko, tadbir urus dan struktur, latihan dan peningkatan kemahiran, pelan komunikasi krisis, keperluan komunikasi sepanjang peringkat kesediaan, tindak balas dan pemulihan serta penerapan prinsip utama untuk komunikasi risiko yang berkesan,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan modul itu dijayakan kumpulan penyelidik UPM diketuai Prof. Dr. Azmawani Abd. Rahman dan ahlinya, Prof. Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain, Prof. Ir. Dr. Ts. Mohamed Thariq Hameed Sultan dan Prof. Madya Dr. Mohd Rafee Baharudin. – MalaysiaGazette