Kerajaan dari zaman Tunku Abdul Rahman hingga ke Perdana Menteri kesembilan telah memperuntukan untuk RMK telah mencecah trilion ringgit, namun kaum pribumi tetap masih mundur.

RANCANGAN Malaysia Ke-12 (RMK-12) telah dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Parlimen pada 27 September lalu.

Ini bermakna RMK-11 sudah berlalu. Kesimpulannya, ada kejayaan dan tidak sedikit kegagalan. Jika diambil kira peruntukan memang sudah trilion banyaknya, tetapi kaum pribumi majoriti masih lagi menderita, kais pagi makan pagi dan bila pandemik Covid-19 menyerang, terpaksa angkat bendera putih. Ini malu dan sedih.

Kehebatan dasar dan matlamat tidak bererti jika pelaksanaan tidak betul, tiris, rasuah, salahguna kuasa, nepotism, kronism dan pegar makan padi.

Sama-sama kita tengok perjalanan dan pelaksanaan RMK12 yang mempunyai tiga teman, empat pemangkin, 14 pemacu perubahan dan sembilan fokus.

Fokus 1: Merancakkan Pertumbuhan Ekonomi – Pada dasarnya nampak cantik, tetapi pelaksanaan selalu mengecewakan dengan banyak birokrasi seperti janji terdahulu. Perlu ada perubahan struktur organisasi, polisi yang telus dan tindakan yang cepat.

Perlukan perincian cara hendak menolong PMKS yang merangkumi 97.2 peratus daripada jumlah keseluruhan perusahaan, jangan hanya tertumpu kepada industri besar sahaja. Ramai golongan B40 dan M40 dalam kelompok ini yang terjejas teruk semasa pandemik ini.

Fokus 2: Memperkukuh Pemangkin Pertumbuhan – Kementerian Komunikasi perlu ‘memaksa’ syarikat komunikasi melabur dalam menara pemancar ke semua kawasan terutama pendalaman dan luar bandar serta diberikan insentif percukaian. Kerajaan tidak perlu menyediakan menara pemancar.

Ini penting sebab untuk negara hendak menjadi negara maju dan transformasikan PMKS serta meningkat kualiti pelajaran di peringkat sekolah dan di institusi pengajian tinggi.

Beri bantuan percuma kepada golongan tersasar (seperti B40 dan M40) dan subsidi pada yang lain untuk membeli, memperoleh peranti, gajet bagi kegunaan mereka. Kalau perlu buat “smart partnership” dengan syarikat-syarikat luar negara.

Fokus 3: Meningkatkan Kesejateraan Keluarga – Perlu wujudkan satu jabatan khas untuk mengendalikan bantuan kepada rakyat yang mengalami pengganguran, dibuang kerja dan keluarga termiskin bagi membela nasib mereka ini di peringkat nasional dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Baitulmal.

Fokus 4: Memantapkan Keselamatan dan Ketenteraman Awam – Tiada.

Fokus 5: Membasmi Kemiskinan Tegar dan Merapatkan Jurang Pendapatan – Perlu ada sistem bayaran gaji minimum dan sektor korporat kena ikut serta, jangan mementingkan keuntungan sahaja. Mungkin perlu diperkenalkan semula cukai keuntungan berlebihan dan menggunakan tenaga kerja daripada rakyat tempatan serta diberikan insentif cukai.

Fokus 6: Memperkasa Agenda Bumiputera dan Keluarga Malaysia – Permudahkan segala urusan untuk menyalurkan bantuan kewangan, peralatan dan nasihat kepada syarikat Bumiputera.

Fokus 7: Melonjakkan Pembangunan Sabah, Sarawak dan negeri-negeri kurang membangun – Pembinaan kawasan industri dan gedung perniagaan perlu diwujudkan di semua negeri supaya ada pembangunan fisikal dan juga pembangunan manusia. Ini akan menyebar penduduk atau rakyat Malaysia ke seluruh negara, bukan tertumpu kepada beberapa negeri sahaja serta beri juga tumpuan kepada generasi kedua dan ketiga rancangan Felda, Felcra dan sebagainya.

Fokus 8: Mempercepatkan Pertumbuhan Hijau – Tiada.

Fokus 9: Meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam dan memastikan pelaksanaan dasar yang berkesan seperti memantau dan mengambil tindakan ke atas penjawat yang menyalahgunakan kuasa. Kerajaan juga perlu mengambil tindakan kepada pemberi rasuah.

Pastikan pemberi projek atau tender adalah telus dan menyeluruh, jangan hanya diberikan kepada syarikat tertentu sahaja. Jika perlu, kena ada konsortium atau usahasama antara syarikat ternama dan besar bersama syarikat baharu (startup company).

Mungkin kerajaan boleh adakan undang-undang anti monopoli seperti Amerika Syarikat yang ada ‘anti-trust law’.

Mengulangi cadangan salah satu daripada 10 Matlamat Perjuangan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) seperti yang dilafaz semasa pelancaran parti itu pada 29 September 2019 di Kampung Bharu dan diluluskan dalam Persidangan Agung Pertama Putra Tahun 2020 adalah desakan diwujudkan Akta Sabotaj Ekonomi bagi menangani rasuah, salahguna kuasa dan ketirisan.

Ianya sama konsep Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan perkara ini akan dihuraikan oleh Presiden Putra, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali. – MalaysiaGazette

Prof. Dr. Abu Sofian Yaacob

 

Prof. Dr. Abu Sofian Yaacob
Pengerusi Biro Ekonomi Parti Putra Malaysia