Stadium Nasional Singapura.

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Federasi Bola Sepak ASEAN (AFF) semalam telah membuat keputusan untuk memberikan hak tuan rumah kejohanan Piala AFF Suzuki 2020 kepada Singapura yang dijadualkan berlangsung pada 5 Disember ini hingga 1 Januari depan

Mengambil kira situasi semasa wabak Covid-19, semua perlawanan Piala Suzuki AFF 2020 ini dijalankan di venue berpusat, berbeza dengan format terdahulu pada edisi 2018 bagi mengurangkan tempoh perjalanan antara negara.

Singapura telah dipilih sebagai tuan rumah kerana memenuhi semua kriteria yang ditetapkan oleh AFF dari segi sokongan kerajaan, kewangan, keselamatan, fasiliti perubatan, penyediaan penginapan dan kemudahan sukan.
Sementara itu, Piala Suzuki AFF 2020 akan menjadi pertandingan sukan antarabangsa terbesar yang diadakan di Singapura sejak pandemik.

Negara itu sebelum ini menganjurkan beberapa acara sukan yang melibatkan peserta antarabangsa terutamanya sukan seni mempertahankan diri yang dikendalikan oleh One Championship dan Singapore Tennis Open, di mana kedua-duanya menerima kehadiran penonton yang lengkap dua dos vaksin.

Sebanyak 10 pasukan akan berkampung di Singapura di mana tiga venue dijangka menjadi pilihan untuk perlawanan peringkat kumpulan iaitu Stadium Nasional Singapura, Stadium Bishan dan Stadium Jalan Besar.

Malaysia berada dalam kumpulan B bersama Vietnam, Indonesia, Kemboja dan Laos manakala juara lima kali, Thailand berada dalam kumpulan A bersama Filipina, Myanmar, Singapura dan pemenang peringkat kelayakan sama ada Timor Leste atau Brunei.

Dua pasukan teratas dalam kumpulan akan mara ke separuh akhir dan seterusnya berentap di perlawanan akhir untuk merebut gelaran ‘Raja Asia Tenggara’. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast