Jeneral Tan Sri Affendi Buang

KUALA LUMPUR – Isu kebocoran data peribadi awam yang dilaporkan kepada polis oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak melibatkan sebarang kebocoran atau ketirisan data Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Panglimanya, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM menegaskan, ATM sentiasa menitikberatkan kerahsiaan semua data sama ada yang berada dalam rangkaian tertutup atau terbuka.

“ATM memandang serius isu kebocoran data seperti mana dilaporkan kerana ianya boleh mengundang kebimbangan masyarakat awam terhadap keutuhan sistem pemantauan serta keselamatan data ATM,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Semalam, polis mengesahkan telah terima satu laporan daripada JPN berhubung dakwaan berlaku kebocoran data peribadi dalam data kerajaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, laporan dibuat Timbalan Pengarah JPN Putrajaya semalam.

Katanya, siasatan dilakukan polis di bawah Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997.

Siasatan itu bagi menyiasat sama ada berlaku atau tidak pengodaman sistem JPN atau sistem Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Kita akan jalankan siasatan dan kita nak sahkan di mana kebocoran itu berlaku,” kata Mohd Kamaruddin.

Sebelum ini tular dakwaan di media sosial mengenai data peribadi jutaan rakyat Malaysia berusia antara 23 dan 43 tahun yang berada dalam di JPN dijual secara dalam talian. – MalaysiaGazette