Idris  Ahmad ketika melancarkan Buku “Ibadah Haji dan Umrah: Persekitaran, Risiko Penyakit dan Penjagaan Kesihatan di Tanah Suci” yang diterbitkan oleh UPM.

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris  Ahmad melancarkan Buku “Ibadah Haji dan Umrah: Persekitaran, Risiko Penyakit dan Penjagaan Kesihatan di Tanah Suci” yang diterbitkan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM).

Buku kompilasi itu memberi fokus kepada persekitaran di Tanah Suci, pemakanan, risiko, komplikasi, jenis rawatan dan langkah pencegahan yang perlu diambil oleh para jemaah agar sentiasa berada dalam keadaan sihat sepanjang mengerjakan ibadah haji dan umrah.

“Dengan adanya buku ini dapat dibaca dengan umum untuk memantapkan pengetahuan mengenai kesihatan diri, mengetahui jenis penyakit serta rawatan dan kandungan buku bermanfaat dalam bidang agama bergabung dengan ilmu kesihatan diri,” kata Idris.

Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Mohd. Roslan Sulaiman berkata, UPM sentiasa memberi ruang serta peluang kepada semua ahli akademik dan staf pentadbiran termasuklah kumpulan pelajarnya untuk menghasilkan buku-buku dengan menonjolkan kepelbagaian genre dan fokus mengikut kepakaran yang diterajui oleh UPM.

“Saya berharap semoga ramai lagi penulis dalam kalangan warga UPM yang menghasilkan buku yang berkualiti untuk memenuhi pengetahuan pembaca serta menerajui peranan menyebarluas keserjanaan kepada masyarakat di negara ini,” katanya.

Selain itu, penulis Buku “Ibadah Haji dan Umrah: Persekitaran, Risiko Penyakit dan Penjagaan Kesihatan di Tanah Suci” adalah dari UPM, Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Penerbitan buku yang julung kali itu memberi fokus tentang rukun Islam kelima yang wajib dilaksanakan bagi individu yang berkemampuan manakala umrah adalah menziarahi Baitullah al-Haram pada bila-bila masa untuk melaksanakan ibadat tertentu dengan syarat-syarat yang tertentu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast