Muhammad Idzam Jaafar

KUALA LUMPUR – Polis meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau pendapat yang boleh mencetuskan kegusaran awam berhubung video kononnya pihak polis mahu merobohkan sebuah kuil di Cheras sebagai mana yang tersebar di laman sosial, semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Muhammad Idzam Jaafar berkata, video yang dimuat naik itu bertujuan untuk meraih simpati dan untuk dieksploitasikan.

“Satu video berkaitan isu ini telah dimuat naik di laman Facebook bagi tujuan meraih simpati dan dieksploitasi.

“Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau pendapat yang boleh menimbulkan kegusaran, kekeliruan dan menggugat ketenteraman awam.

“Polis Cheras juga menafikan terdapat tindakan pihak polis untuk merobohkan mana-mana tokong di dalam kejadian tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Semalam tular di media sosial video sekumpulan 30 orang lelaki merusuh dan menyerang anggota polis kerana salah faham kononnya kehadiran pihak polis di situ adalah untuk merobohkan sebuah tokong di kawasan berkenaan.

Kejadian itu berlaku ketika pihak polis dan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PTG) menjalankan operasi untuk membina pagar penghadang ‘Hoarding’ untuk laluan ke sekolah.

Polis kemudiannya menahan empat lelaki berumur antara 19 hingga 50 tahun untuk siasatan di bawah Seksyen 148 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette