Ros Hanita Mohamad Basir

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) harus peka isu keselamatan remaja yang mengambil vaksin, kata Ketua Pergerakan Wiranita Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Ros Hanita Mohd Basir.

Beliau berkata, ada segelintir pelajar yang mengambil vaksin menerusi program vaksinasi sejak 20 September lalu mendapat kesan sampingan yang teruk.

Katanya, beliau bimbang sekiranya KKM tidak membuat kajian terlebih dahulu, memungkinkan ramai kalangan pelajar mengalami kesan sampingan.

“Kita difahamkan KKM menjangkakan sasaran 80 peratus pelajar di sekolah kawasan luar bandar sudah divaksinasi sebelum sesi persekolahan 2022.

“KKM juga menyasarkan 3.2 juta remaja dapat divaksinkan dalam tempoh tiga bulan ini, dengan 1.1 juta adalah mereka berusia 16 hingga 17 tahun.

“Kita dimaklumkan juga, hanya dua vaksin sahaja sesuai digunakan iaitu Pfizer dan Sinovac kepada remaja dan pelajar,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Ros Hanita, ketika ini timbul tanda tanya, adakah dua jenis vaksin itu selamat digunakan, atau apakah ianya tidak mempunyai kesan sampingan dan melibatkan kematian?

Beliau menggesa KKM mengkaji dan memantau dengan serius supaya keselamatan remaja dan pelajar lebih terjamin.

“KKM perlu telus dalam apa juga kesan vaksin itu kepada rakyat. Jangan sekali-kali berselindung walaupun perkara itu sahih kerana vaksinasi ini melibatkan nyawa manusia.

“Kita tidak tahu sejauh mana kebenaran satu laporan yang menyatakan beberapa kes remaja yang menerima vaksin meninggal dunia seperti berlaku di Sungai Petani, Kedah.

“Kita minta KKM siasat dan umumkan kepada rakyat supaya ibu bapa tidak berada dalam kebimbangan dengan keselamatan nyawa anak mereka.

Beliau berkata, Wiranita Putra memandang serius perkara itu kerana tidak sepatutnya berlaku jika KKM mengkaji dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

Tegasnya, jangan jadikan rakyat bahan uji kaji.

“Mereka yang menerima vaksin mendapat kesan sampingan yang teruk dan ada yang sedang dirawat di hospital,” katanya.

Beliau berkata, ada juga mengadu diserang penyakit ruam muka yang serius selepas divaksin dan telah menerima rawatan di klinik swasta serta terpaksa membayar sendiri kos perubatan yang tinggi.

“Dari semua laporan dan kejadian ini, kita menggesa kerajaan terutama KKM menunda dahulu pemberian vaksinasi kepada remaja dan pelajar serta mencari kaedah sesuai sebelum program tersebut diteruskan.

“Kehilangan nyawa melibatkan remaja ini akibat dari vaksin adalah perkara yang tidak boleh anggap remeh.

“Wiranita Putra mencadangkan kerajaan menubuhkan jawatankuasa bebas di kalangan pakar perubatan untuk menyiasat isu kematian pelajar tersebut,” katanya.

Katanya, pemberian vaksin yang sesuai dan selamat diguna kepada pelajar harus difikirkan, bukan dilakukan secara tergesa-gesa tanpa menilai kesan sampingan.

Melalui jawatankuasa bebas itu kerajaan perlu memberi masa dan ruang agar kajian penggunaan vaksin yang sesuai dapat digunakan.

“Kita nasihatkan ibu bapa dan pelajar yang menerima kesan sampingan akibat vaksin harus segera mendapat rawatan di hospital,” ujar beliau. – MalaysiaGazette