The Member of Parliament of Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim during the Special Parliament Sitting at the Dewan Rakyat in Kuala Lumpur. PIX: Courtesy of the Department of Information / 26 JULY 2021. RMK12 book
Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak Abdul Latiff Abdul Rahman (Pas-Kuala Krai) yang menuduhnya membuat kenyataan fitnah berhubung kos yang digunakan kerajaan untuk buku Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Ahli Parlimen Port Dickson itu mencelah ketika sesi perbahasan Charles Santiago (PKR-Klang) dengan meminta wakil rakyat dari Pas itu lebih banyak membaca sebelum melempar tuduhan kononnya beliau memfitnah dan mengguris penjawat awam Unit Perancangan Ekonomi (UPEN).

Menurut Anwar, beliau hanya bertanya benar atau tidak kerajaan membelanjakan RM2 bilion untuk menyiapkan buku RMK-12 dengan peruntukan itu disalurkan kepada konsultan luar negara.

“Ini berdasarkan soalan yang dikemukakan oleh Kelana Jaya pada November 2013 mengenai syarikat perunding.

“Apa jawab Menteri Kewangan ketika itu jawab? Katanya, tahun 2009 sebanyak RM1.2 bilion untuk bayaran perunding, tahun 2010 sebanyak RM1.6 bilion, tahun 2011 sebanyak RM1.7 bilion, tahun 2012 sebanyak RM1.8 bilion dan tahun 2013 sebanyak RM721 juta.

“Maknanya, dalam lima tahun sahaja sejumlah RM7.2 bilion telah dibelanjakan oleh kerajaan untuk bayaran kepada syarikat perunding. Kalau secara puratanya, satu bulan kerajaan bayar kepada perunding asing sebanyak RM125 juta atau RM4 juta sehari,” katanya.

Beliau bangun mencelah untuk mempertahankan kenyataannya selepas Abdul Latiff yang menggulung perbahasannya meminta Ketua Pembangkang itu menarik balik kenyataan tersebut.

Menurut Ahli Parlimen Kuala Krai itu, Anwar telah menyinggung perasaan dan merendahkan kebolehan pegawai serta kakitangan awam.

Mengulas lanjut, Presiden PKR itu menegaskan, beliau sama sekali tidak mempersolkan pegawai dan kakitangan UPEN menjalankan tugas, malah memberi komentar yang positif kepada mereka dalam ucapannya.

“Jangan kaitkan prestasi dan kewibawaan penjawat awam yang menjalankan tugas dan 1 April lalu pula, Menteri Kewangan dalam kenyataannya menjelaskan, perunding tempatan dibayar tidak lebih RM500,000, tetapi syarikat perunding asing boleh dibayar sehingga lebih RM50 juta.

“Saya gesa kerajaan, kita harus desak jangan hanya bergantung kepada perunding asing kerana ada keupayaan menggunakan perunding tempatan, kepakaran tempatan, universiti tempatan dan juga penjawat awam yang berkemahiran.

“Oleh itu, kepada YB Kuala Krai bila kata saya fitnah, ini masalahnya kerana dia tak buat kerja rumah. Dia masih ingat Parlimen ni tempat ceramah di surau kampung,” katanya. – MalaysiaGazette