Arthur Joseph Kurup
Arthur Joseph Kurup

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini diberitahu, projek pembinaan Lebuh Raya Utama Tengah (CSR) dari Lebuh Raya Karak, Pahang ke Kota Bharu, Kelantan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2025.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, projek pembinaan baharu dan naik taraf jalan sedia ada sepanjang 306.8 kilometer (km) itu melibatkan kos RM7.24 bilion.

Katanya, projek itu menghubungan dua negeri Pantai Timur iaitu Kuala Krai Kelantan ke Lebuh Raya Pantai Timur sebelah Karak di Pahang.

“Projek ini melibatkan enam pakej utama yang telah dipecahkan kepada 26 sub-pakej.

“Sehingga kini status pelaksanaan jalan CSR ini adalah yang sudah siap pembinaan lapan sub-pakej dengan jarak 89.25 km dan dalam pembinaan 12 sub-pakej sejauh 134.3 km.

“Sedang dalam perolehan satu sub-pakej dengan jarak 20 km dan yang dalam perancangan, tetapi sudah lulus pelaksanaannya lima sub-pakej dengan jarak 55.05 km,” katanya dalam sesi jawab lisan.

Empat tahun lagi lebuh raya CSR ini dijangka siap beri kemudahan perjalanan kepada penduduk Pantai Timur.

Menurut beliau, kos RM7.24 bilion itu telah diluluskan Unit Perancangan Ekonomi (UPE) di Jabatan Perdana Menteri dan jumlah yang dibelanjakan setakat ini mengikut bajet ditetapkan.

Kata Joseph Kurup, apabila siap sepenuhnya CSR itu, ia akan bersambung dengan Lebuh Raya Kota Bharu – Kuala Krai di Kelantan bagi meningkatkan aksesbiliti dan mobiliti bagi laluan ke Pantai Timur.

“Ini adalah sebahagian daripada jajaran yang diperakukan oleh laporan Highway Network Development Plan (HNDP) 2030.

“Kesimpulan jarak dari Kota Bharu ke persimpangan LPT akan dikurangkan daripada 452 km ke 418 km dan penjimatan sebanyak 34 km, manakala masa juga akan dikurangkan dari tujuh jam ke 4.5 jam,” katanya. – MalaysiaGazette