Lima individu termasuk seorang wanita tempatan ditahan terlibat dalam beberapa siri pertengkaran mulut sehingga membawa kepada kerosakan dan kebakatan khianat api kenderaan orang dalam kejadian semalam di Bandar Kindara Puchong.

SERDANG – Pertengkaran antara dua individu mengenai posting di laman Facebook berakhir dengan sebuah kereta yang diparkir di tepi jalan di Puchong, di sini, dibakar.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A. Anbalagan berkata, pihaknya menerima maklumat berlaku kekecohan yang berlaku di Jalan BK 5, Bandar Kinrara dan video mengenai insiden itu tularkan di laman media sosial pada jam 4 petang semalam.

Katanya, siasatan polis mendapati suspek menggunakan seketul batu untuk merosakkan dan memecahkan cermin sebuah kereta Proton Waja yang diletakkan di bahu jalan di Jalan BK 5.

“Pihak polis mendapati suspek dalam keadaan marah sambil menjerit dan membuat provokasi.

“Selain itu terdapat sebuah kereta jenis Proton Waja telah mengalami kerosakan lampu serta cermin bahagian belakang pecah yang berpunca daripada perbuatan khianat seperti mana dalam empat video tular yang dikesan di laman Facebook masing-masing berdurasi satu minit 30 saat , satu minit 26 saat, satu minit 15 saat dan video keempat berdurasi 47 saat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Anbalagan, berikutan itu polis menahan seorang suspek di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan di lokasi dan turut ditahan adalah dua lelaki dan seorang perempuan.

Tambah beliau, penahanan itu dilakukan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan bagi membantu siasatan pihak polis.

Jelasnya, rentetan daripada kejadian tersebut, pada jam 8.40 malam hari sama kereta Proton Waja yang dirosakkan suspek telah dibakar.

Ujarnya, hasil maklumat dan risikan bahagian siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang telah menahan seorang lagi suspek berumur 42 tahun di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan selepas beliau mengaku bertanggungjawab membakar kenderaan tersebut.

“Siasatan awal polis mendapati kejadian difahamkan berpunca daripada pergaduhan dan perselisihan faham yang berlarutan berkenaan dengan memuat baik pelbagai posting di laman Facebook di antara kedua–dua belah pihak,” katanya.

Anbalagan berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan ugutan jenayah terhadap pemilik kenderaan yang dikhianati itu dan kelima-lima suspek telah direman untuk membantu siasatan polis. – MalaysiaGazette