Lim Lip Eng
Lim Lip Eng

KUALA LUMPUR – Isu naik taraf kediaman rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terus hangat dimainkan di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng yang bangun mencelah perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) oleh Ahli Parlimen Hulu Selangor, June Leow mempersoalkan peruntukan kos RM38.5 juta untuk naik taraf Kompleks Seri Perdana itu adalah sesuatu yang tidak masuk akal.

“Adakah ada bumbung bocor, dinding retak, siapa kontraktor, adakah tander terbuka dijalankan, kenapa kos tinggi, apakah jenama lampu yang dibeli, adakah tandas automaik dipasang?,” soal ahli DAP itu pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Pada Selasa lalu, Ismail Sabri dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat berkata, kerja-kerja ubah suai dan naik taraf Kompleks Seri Perdana dilakukan setelah mengambil kira faktor-faktor keselamatan Perdana Menteri.

Antara faktor lain termasuk memastikan imej negara dalam menyambut tetamu-tetamu utama negara semasa program-program rasmi Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Lip Eng turut menggesa supaya Jawatan Kuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) melakukan siasatan terhadap peruntukan naik taraf berkenaan.

Katanya, siasatan itu bagi memastikan dana yang begitu besar itu diperincikan setiap penggunaannya supaya tiada ketirisan berlaku.

“Saya mencadangkan supaya merujuk isu kos RM38.5 juta untuk naik taraf Kompleks Seri Perdana kepada PAC

“Saya minta siasat apa perlu dibuat ubah suai sekarang Kompleks Seri Perdana,” kata Lip Eng lagi.

Projek naik taraf Kompleks Seri Perdana dengan kos keseluruhan RM38.5 juta diluluskan pada 19 Mac lalu dan kerja pembinaannya bermula 29 Mac.

Ia disahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad.

Projek itu diluluskan dan dilaksanakan di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, projek tersebut perlu dilaksanakan berikutan usia Kompleks Seri Perdana kini mencecah 22 tahun dan mengalami banyak kerosakan. – MalaysiaGazette