IMBAS KEMBALI.Suasana stadium yang lengang berikutan penonton masih tidak dibenarkan hadir menyaksikan pertandingan sukan pada perlawanan Piala Sumbangsih di antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah Darul Aman FC sempena pembukaan Liga Malaysia 2021 di Stadium Sultan Ibrahim, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 05 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Penonton akan kembali mewarnai kancah bola sepak tempatan selepas penyokong dibenarkan untuk menyaksikan perlawanan di stadium mulai Jumaat ini.

Perkembangan itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan semalam

Ismail Sabri berkata kebenaran itu diberikan selepas tiada lagi negeri yang berada dalam Fasa 1 susulan Kedah yang beralih dari Fasa 1 kepada Fasa 2 sekali gus menyaksikan beberapa kelonggaran baharu dibenarkan.

“Membenarkan kehadiran penonton/penyokong ke tempat perlawanan sukan dan rekreasi di negeri Fasa 2, Fasa 3, dan Fasa 4. Kehadiran ini meliputi sebelum, semasa dan selepas acara sukan serta rekreasi.

“Kanak-kanak bawah umur 18 tahun tidak dibenarkan untuk menonton perlawanan di tempat acara sukan berlangsung,” katanya.

Dua perlawanan Liga Super membabitkan pertemuan JDT menentang Melaka United FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 2 April dan Kuala Lumpur City FC berdepan Sabah FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 3 April dijadikan sebagai projek perintis bagi kemasukan penonton ke stadium. – MalaysiaGazette