Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar hari ini menafikan beliau memberikan Kelulusan Permit (AP) bagi mengeksport pasir sungai secara rundingan terus kepada empat syarikat yang didakwa milik kroninya.
Dr. Xavier Jayakumar

KUALA LUMPUR – Sudah sampai masanya kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi mengkaji semula sistem pendidikan sedia ada.

Hal ini disuarakan Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr. Xavier Jayakumar (Bebas) yang menyifatkan sistem pendidikan sekarang sudah lapuk dan jauh ketinggalan kebelakang berbanding negara maju lain.

Beliau menjelaskan, di negara lain, usaha menangani isu kemiskinan rakyat boleh diatasi melalui sistem pendidikan yang bukan hanya mencakupi ilmu akademik semata-mata.

“Sebab itu, di Malaysia kita dapati kerajaan gagal menangani masalah kemiskinan kerana kita tidak mempunyai sistem pendidikan yang baik untuk mendidik mereka keluar dari kesempitan hidup.

“Padahal, di negara lain masalah kemiskinan ditumpukan kepada golongan itu melalui pendidikan.

“Jadi, kita kena tengok sistem pendidikan di kalangan golongan B40, adakah cukup atau mereka boleh gunapakai sistem ini untuk 10 atau 15 tahun akan datang,” katanya dalam sesi perbahasan menyokong Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Parlimen petang ini.

Katanya, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi kena berani untuk menukar sistem sedia ada kepada yang lebih baharu dan maju.

Kenyataan beliau itu disokong Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik (PH) yang menyifatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2018 dan 2019 dalam peringkat menyiapkan model pendidikan baharu.

Ujar mantan Menteri Pendidikan itu, beliau ketika itu hampir-hampir membawanya untuk dibincangkan di peringkat Jemaah menteri tetapi tidak kesampaian kerana berlaku ‘Langkah Sheraton’.

Xavier yang bersetuju dengan pandangan Dr. Maszlee itu berharap dengan perancangan RMK-12 ini, kerajaan boleh bekerjasama dengan semua pihak termasuk swasta untuk menyediakan satu sistem pendidikan yang membawa keuntungan kepada negara dengan rakyat pada masa akan datang. – MalaysiaGazette