Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad menzahirkan rasa terkejut dan pelik dengan peraturan undang-undang dalam negara ketika ini.

Ahli Parlimen Langkawi (Pejuang) itu berkata, sekarang ini didapati ramai orang yang didapati bersalah oleh mahkamah tetapi masih terus menjadi wakil rakyat.

Katanya, golongan itu juga berada di Dewan Rakyat untuk menasihatkan kerajaan mengenai bagaimana hendak membelanjakan duit negara.

“Di Malaysia sekarang ini kita dapati keadaan rule of law ini sudah berbeza, sekarang ini kita dapati banyak orang yang didapati bersalah tetapi masih lagi terus menjadi wakil rakyat.

“Umpamanya, menasihat kerajaan bagaimana membelanjakan belanjawan kita dan tidak ada tindakan diambil ke atas orang ini, walaupun mereka boleh hadir dalam dewan ini dan buat ucapan yang panjang-panjang.

“Tetapi tidak ada masa pula untuk hadapi hakim di mahkamah. Keadaan ini perlulah kita ambil ingatan bahawa yang diutamakan ialah ucapan di dewan dan bukan hukuman terhadap kesalahan,” katanya dalam sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Parlimen hari ini.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada kerajaan kerana berjaya membuat perancangan pembangunan Malaysia ke-12.

Katanya, tahniah juga kepada timbalan-timbalan menteri yang begitu cekap membaca jawapan dan menjawab soalan.

“Saya percaya mereka ada masa depan yang cerah,” katanya.

Beliau selanjutnya memberitahu, memang agak mudah bagi sesebuah kerajaan untuk merancang tetapi tidak semudah itu untuk melaksanakan perancangan berkenaan.

Lebih lagi, katanya, untuk melaksanakan suatu perancangan itu ia memerlukan wang dan adakah kerajaan sekarang masih mempunyai wang yang cukup untuk melaksanakan perancangan itu?

“Kerajaan telah belanjakan RM600 bilion tahun ini hingga dah tak ada duit lagi, yang tinggl hanya RM38.5 juta untuk projek tertentu, saya tak perlu namakan projek itu.

“Juga apabila kita nak bangunkan negara, kita perlu tahu cara untuk melaksanakan projek itu. Umpamanya, kita sedar mengenai kemiskinan di luar bandar dan kita ingin perkayakan mereka.

“Tetapi, caranya tak begitu mudah, walaupun ada kerajaan berpendapat untuk atasi kemiskinan luar bandar ialah ambil duit kerajaan dan berikan kepada rakyat untuk mereka jadi kaya, tetapi kerajaan akan bankrap, itu bukan caranya,” kata beliau.

Dr. Mahathir yang merupakan mantan Perdana Menteri berkata, banyak cara diperlukan dan perlu tahu bagaimana mengatasi masalah kemiisnan di luar bandar.

Ujarnya, ada cara tertentu, tapi pihak yang akan melaksanakannya mesti tahu berkenaan cara dan halangan yang akan dihadapi oleh pelaksanaan itu.

“Umpamanya di kawasan luar bandar terdapat ramai orang miskin miliki tanah terlalu kecil untuk memperkayakan mereka. Mereka memiliki cuma satu atau dua ekar tanah dan ini tidak mencukupi untuk mereka mendapat pulangan yang terbaik.

“Tetapi untuk kita perkayakan mereka kita perlu fikir dengan cara yang lain. Namun, saya dapati agak negatif terhadap rancangan baru kerajaan untuk perkayakan penduduk luar bandar.

“Ada satu cadangan, kalau kita ternak udang galah dalam sawah, kita boleh tambah pendapatan mereka tetapi sudah tiga tahun pihak yang mencadangkan ini meminta daripada kerajaan sama ada mereka boleh laksanakan,” katanya.

Bagaimanapun, kata Dr. Mahathir, pihak dalam kerajaan mengatakan udang galah  bahaya kerana ia bukan spesies Malaysia, ia spesies China dan kononnya kalau diernak di negara ini, jika banjir masuk dalam sungai akan makan ikan.

Maka itu kononnya, kata beliau sinis, kerajaan tidak boleh membenarkan menternak udang galah di Malaysia malah hendak buat ternak peringkat percubaan pun tidak dibenarkan.

“Sudah tiga tahun meminta berkali-kali dan mematuhi segala arahan daripada pihak berkenaan tetapi kita tidak boleh menternak udang galah di Malaysia, walaupun udang galah ini dimakan oleh orang China dan tidak ada siapa pun meninggal dunia kerana makan udang galah ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau minta kerajaan mengambil peluang dan menggunakan sebaik mungkin teknologi moden yang ada sekarang ini untuk memajukan beberapa bidang terutama pendidikan.

Kata beliau, sekarang ini banyak teknlogi yang diperkenalkan boleh membantu kerajaan melaksanakan segala perancangan, tetapi nampaknya belum menggunakan teknologi moden itu.

“Dalam bidang pendidikan contohnya, kita masih bergantung kepada guru dalam bilik darjah menyampaikan ilmu, tetapi zaman ini kita mempunyai kebolehan untuk rakam segala ilmu ini dan kita boleh main berkali-kali, bahkan rakaman ini boleh dimainkan dalam bilik darjah dan guru cuma tunjuk ajar sahaja.

“Ini cara baru dan sudah beberapa syarikat memperkenalkan cara mengajar, tetapi semua ini ditolak dan kita masih lagi bergantung kepada guru dan kita juga berasa tidak senang kerana ada guru tidak begitu cekap terutama dalam mengajar bahasa Inggeris.

“Kita mencari-cari guru yang cekap dalam bahasa Inggeris, tetapi kita masih tidak cukup bilangan untuk menggunakan mereka,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan menggunakan cara baru iaitu belajar melalui YouTube.

Katanya, beliau sendiri dapat belajar banyak benda melalui YouTube dan boleh diajar dalam sistem pendidikan negara. – MalaysiaGazette