Kamaruzaman Mohamad
Kamaruzaman Mohamad

KUALA LUMPUR – Cadangan kerajaan Pulau Pinang hendak membina jambatan ketiga negeri itu menggantikan projek terowong dasar laut sebagai tidak masuk akal.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, cadangan itu akan merisikokan rakyat yang menanggung kerugian akibat pembaziran dilakukan kerajaan pimpinan DAP.

“Kita bantah sekeras-kerasnya cadangan pembinaan jambatan ketiga Pulau Pinang bagi menggantikan projek terowong dasar laut yang telah lama tidak dilaksanakan.

“Cadangan itu bukan sahaja tidak masuk akal, malah meletakkan rakyat sebagai berisiko dengan kerugian,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, kerajaan Pulau Pinang sebenarnya gagal dan tidak ada kemampuan untuk mengurus projek mega.

Ini tegasnya, apabila kos begitu besar iaitu RM305 juta dibelanjakan hanya untuk kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut semata-mata.

Sedangkan, kata Kamaruzaman, projek itu telah tertangguh berikutan kes perbicaraan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di mahkamah yang dikatakan mempunyai kaitan dengan projek itu.

Menurutnya, perkara itu menjadi petunjuk kegagalan kerajaan DAP Pulau Pinang yang tidak kompeten dalam mengurus pembangunan projek mega tersebut.

Kerana itu, kata beliau, kemajuan pembangunan ekonomi di Pulau Pinang terbantut disebabkan kegagalan pentadbiran DAP.

“Selain itu, kerajaan negeri juga seharusnya meneliti aspek persekitaran, ekonomi, sosial dan lain-lain kesan sebelum meneruskan sebarang perancangan pembangunan seumpama itu.

“Kita gesa projek mega yang merugikan rakyat seperti jambatan ketiga, terowong dasar laut dan PSR tidak dilaksanakan.

“Sebaliknya, tumpu kepada pembangunan mampan dalam menghadapi era endemik, agenda pemulihan ekonomi dan pengawalan Covid-19,” katanya. – MalaysiaGazette