Ashraf Rosli

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) meminta Jabatan Insolvensi Malaysia menilai semula jumlah individu yang dikatakan mengalami muflis sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari Mac 2020 hingga Julai lalu.

Ketua Penerangannya, Ashraf Rosli berkata, parti itu menganggap nilai statistik yang dikeluarkan jabatan itu sebagai kurang tepat dan perlu kepada penilaian semula.

Menurut beliau, berdasarkan jawapan bertulis Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Parlimen pada Isnin lalu, memetik data jabatan itu, seramai 10,317 individu diisytihar muflis sepanjang tempoh PKP selama 16 bulan, manakala 1,246 syarikat gulung tikar.

Katanya, data jabatan itu juga menunjukkan 3,684 individu muflis bagi tahun 2021 sehingga Jun dan 8,351 muflis sepanjang tahun 2020.

“Ia sangat ketara rendahnya berbanding tahun sebelum pindaan dilakukan iaitu 12,051 muflis (2019), 16,482 muflis (2018) dan 18,227 muflis (2017).

“Di Malaysia, kadar keberhutangan isi rumah adalah tinggi iaitu 89.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi separuh pertama 2021 dan trend ini bertambah buruk lagi apabila pasaran rumah lelong meningkat pada suku kedua iaitu 30 peratus.

“Ini adalah salah satu indikator bahawa semakin ramai rakyat tidak mampu membayar pinjaman rumah akibat terjejas daripada kemerosotan ekonomi oleh pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau berkata demikian memetic pakar ekonomi dilaporkan berkata, bilangan individu muflis sepanjang PKP boleh menjadi lebih tinggi daripada yang digambarkan data Jabatan Insolvensi Malaysia.

Prof. Madya Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, keadaan itu amat membimbangkan kerana berdasarkan statistik Putra Business School, bilangan individu yang tidak mampu membayar hutang mungkin dua kali ganda lebih ramai daripada data muflis yang direkodkan jabatan berkenaan.

Menurut Ashraf, Jabatan Perangkaan Malaysia pula menganggarkan hampir 72 peratus daripada 746,900 penganggur adalah golongan berumur 15 hingga 34 tahun.

Ini katanya, menunjukkan angka membingbangkan kerana mereka adalah golongan yang terdedah kepada keadaan kewangan yang tidak kukuh dan seterusnya boleh menyebabkan terjerumus dalam kategori muflis.

Justeru, Putra berpendirian tegas agar Perdana Menteri dan Menteri Kewangan meneliti dengan lebih serius perkara itu kerana melibatkan ianya generasi pelapis negara.

“Diharap kerajaan dapat memikirkan suatu mekanisma yang kukuh dan mampan dalam bajet akan datang bagi mengambil status dan cabaran kewangan anak muda yang bakal menerajui negara akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette