Pengurus Inspired Kitchen merangkap graduan Sijil Kulinari Khas Kolej Komuniti Selayang, Mohd Hanif Naufal Mohd Mazhi menyediakan minuman bersama pekerjanya selepas temubual bersama Malaysia Gazette berkenaan Program Pengajian Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di Kolej Komuniti Selayang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 25 NOVEMBER 2020.

SEBAGAI sebuah badan yang mengiktiraf profesionalisme teknologis dan juruteknik di negara ini, Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) berpandangan bidang fokus yang diberikan oleh Kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) adalah strategik dan bertepatan. RMKe-12 telah menggariskan strategi yang progresif dan menyeluruh dalam menangani cabaran
pasca pandemik khususnya melalui pembangunan bakat.

Dalam Pemangkin Dasar 1 RMKe-12 “Membangunkan Bakat Masa Hadapan”, tumpuan diberikan kepada penjajaran semula pasaran buruh, pendidikan dan latihan.

Ia menunjukkan Kerajaan menyedari bahawa pembangunan bakat adalah asas dalam dasar jangka panjang negara ini. Keberhasilan dalam aspek ini akan tercapai dengan
peningkatan tenaga buruh yang berkemahiran tinggi dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan taraf hidup rakyat.

MBOT yang juga sebuah badan berkanun di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyambut baik penekanan yang diberikan oleh Kerajaan terhadap sains, teknologi, pengkomersialan dan pendigitalan. Ini kerana aspek-aspek ini dapat memberikan kesan berganda kepada perkembangan bakat, industri dan sosioekonomi.

Fokus Kerajaan terhadap pertumbuhan industri strategik dan berimpak tinggi melalui pembangunan bakat dan keupayaan akan memacu pertumbuhan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Melalui strategi ini, diharapkan jumlah pekerja mahir akan dipertingkatkan memandangkan pada masa ini, hanya 24.7 peratus pekerja berkemahiran tinggi dalam industri.

Ini juga akan membantu Malaysia untuk mempunyai sekurang-kurangnya 35% pekerja mahir dalam tenaga buruh menjelang
tahun 2030 seperti yang disasarkan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Untuk bersaing dengan negara-negara maju, Malaysia perlu mempunyai sekurang-kurangnya 45% bakat berkemahiran tinggi.

Untuk memastikan tenaga kerja yang kalis masa hadapan (future proof), bidang-bidang teknologi baru muncul dan teknologi distruptif khususnya yang berkaitan Revolusi Perindustrian Ke-4 (4IR) seperti Kecerdasan Buatan (AI), pendigitalan, robotik, internet mudah alih berkelajuan tinggi, Analitik Data Raya
(BDA) dan Internet Benda (Internet of Things), perlu diperkukuhkan melalui pendidikan dan latihan. Ini kerana bidang-bidang ini akan menjadi asas utama dalam pelbagai sektor industri,  sekali gus memberikan kesan berganda kepada produktiviti dan pertumbuhan ekonomi.

MBOT berpendapat  pembangunan bakat secara strategik mampu menyokong sasaran yang ditetapkan Bagi membangunkan bakat tersedia masa hadapan, Kerajaan juga memberi penekanan terhadap ekosistem TVET melalui penambahbaikan akreditasi,
pengiktirafan dan pensijilan. MBOT berpandangan bahawa inisiatif ini perlu dijalankan secara berterusan, menyeluruh dan melibatkan pihak industri.

Ini supaya institusi TVET dapat merangka kurikulum yang selaras dengan keperluan industri. Secara keseluruhan, MBOT yang telah mendaftarkan lebih 46,000 Teknologis dan Juruteknik melihat RMKe-12 mengiktiraf kepentingan bakat yang berkemahiran tinggi untuk menaiktaraf sosio ekonomi rakyat dan seterusnya keluar daripada kemelesetan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

Datuk Ir. Ts. Dr. Siti Hamisah Binti Tapsir
Presiden
Lembaga Teknologis Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast