Mohd Johari Hussain

BERA – Gelembung pelancongan di Pulau Tioman ditangguhkan sementara bagi mengelak peningkatan kes Covid-19 seperti yang berlaku di Langkawi baru-baru ini.

Ia dilihat wajar bagi mengekang wabak tersebut di pusat peanginan tersohor itu, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, Datuk Seri Mohd Johari Hussain.

Menurutnya, arahan penangguhan tersebut juga melibatkan lokasi destinasi pelancongan yang lain dan pihaknya akur keputusan tersebut.

“Pihak yang mengeluarkan penangguhan dibuat itu pasti mempunyai alasan kukuh dan saranan serta nasihat oleh pihak Majlis Keselamatan Negara.

“Arahan semasa ini  melihat perkembangan di Langkawi dan sebagainya serta statistik kes jangkitan Covid-19 agak tinggi maka penangguhan dilakukan bukan sahaja di Pulau Tioman malah di destinasi pelancongan lain,” katanya.

Beliau berkata demikan pada sidang media Dewan Sri Kempas, IPD Bera bersempena Program Sambutan Jubli Emas PERKESO peringkat Pejabat PERKESO Bera hari ini.

Selain itu, menurut Mohd Johari, pihak pengurusan pulau akan mengalami masalah logistik jika dibenarkan beroperasi hari ini yang dijadualkan semasa peningkatan kes berlaku.

Jelasnya, ramai pihak tidak mahu mengambil risiko terhadap penularan Covid-19 di mana kos pengangkutan dijangka meningkat naik bagi membawa keluar pesakit dari pulau berkenaan.

“Jika ada kes positif Covid-19 di Pulau Tioman, kita akan mengalami krisis logistik kerana perlu membawa keluar pesakit, jadi kos pengangkutan sangat tinggi,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Tourism Pahang, Kamaruddin Ibrahim dalam kenyataannya Selasa lalu mengumumkan gelembung pelancongan domestik di Pulau Tioman dirancang beroperasi hari ini ditangguhkan ke satu tarikh akan dimaklumkan kelak.

Kamaruddin berkata, ia berikutan pembukaan pulau tersebut hanya boleh dilaksanakan apabila kadar vaksinasi negara mencapai 90 peratus populasi dewasa seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast