RMK12 100 days KPI Ismail Sabri spine injury Yayasan Akalbudi corruption trial Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi court subpoena specialist doctor Dr Mohd Shahir Anuar from Avisena Specialist Hospital
Ahmad Zahid Hamidi.

KUALA LUMPUR – Mengugut guru yang masih enggan menerima suntikan vaksin Covid-19 dipindahkan ke negeri lain, bukan jalan penyelesaian atau pendekatan yang baik.

Sebaliknya, kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan perlu mengendalikan dengan cara cermat dan bijaksana.

“Saya sendiri apabila dengar ugutan ini, berasa kurang selesa dengan tindakan mahu diambil kementerian ke atas warga pendidik yang belum menerima suntikan vaksin Covid-19.

“Bagi saya seramai 2,000 guru yang masih enggan menerima suntikan vaksin itu perlu dikendalikan dengan cermat dan bijaksana.

“Tindakan mengugut untuk memindahkan guru ke negeri lain, akan menyusahkan kehidupan mereka dan keluarga, malah ini merupakan pendekatan kurang berhemah dan autokratik,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Baru-baru ini, media melaporkan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin sebagai berkata, pihaknya sedang melihat keperluan untuk memindahkan kira-kira 2,000 guru berkenaan ke sekolah atau tempat lain yang lebih sesuai.

Menurut beliau, langkah itu diambil bagi memastikan guru terlibat tidak berinteraksi secara langsung dengan murid dan menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Kata Ahmad Zahid, beliau percaya masih ada banyak ruang serta peluang untuk memujuk dan meyakinkan guru berkenaan supaya mengambil suntikan vaksin Covid-19.

Katanya, jangan cepat menilai guru terlibat daripada sudut Teori X, sebaliknya kendali mereka pada kaca mata Teori Y.

“Ini leadership yang lebih harmoni,” katanya.

Beliau juga berpandangan, jumlah 2,000 guru tidaklah terlalu ramai dan mungkin sudah semakin berkurangan hari ini.

“Sepatutnya mereka ini boleh diuruskan berdasarkan kes demi kes oleh kementerian, bukan melalui pendekatan pukul sama rata.

“Seperti pendekatan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam isu 779 guru di Johor yang menolak suntikan vaksin Covid-19 baru-baru ini,” katanya.

Beliau yang merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri berkata, guru itu perlu didekati dan difahami seorang demi seorang bagi mengetahui punca sebenar mereka enggan divaksin.

Adakah mereka sememangnya mempunyai alasan yang kukuh mengenai risiko kesihatan diri untuk tidak mengambil vaksin tersebut? Dan jika benar, apa langkah terbaik membantu mereka dapat terus berkhidmat kepada anak bangsa?

“Jika mereka tersalah faham mengenai risiko vaksin terhadap kesihatan diri, maka dapatkan pakar kesihatan untuk meyakinkan mereka.

“Andai mereka tersalah faham mengenai aspek hukum hakam, dapatkan bantuan ilmuan agama untuk menyedarkan mereka mengenai hal sebenar.

“Sekiranya mereka dipengaruhi teori konspirasi mengenai Covid-19 dan vaksinasi, dapatkan pakar kaunseling yang boleh memperbetulkan persepsi mereka,” katanya.

Kesimpulannya, kata Ahmad Zahid, kementerian perlu ada program khas untuk membantu guru berkenaan, bukannya hilang keyakinan serta putus asa terhadap mereka.

Kata beliau, kementerian masih ada masa mencukupi untuk memujuk serta meyakinkan mereka kerana sesi persekolahan diadakan secara berperingkat.

“Bagi saya, sebarang bentuk ugutan akan hanya membuat rakyat marah kepada parti politik yang menguasai kerajaan hari ini,” katanya. – MalaysiaGazette