GEORGE TOWN – Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang sudah mengenalpasti 63 kawasan panas yang dilaporkan sering banjir di negeri itu sebagai persiapan awal untuk menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka berlaku bulan ini.
Kesemua 63 kawan itu membabitkan lima daerah di negeri itu.
Pengarahnya, Saadon Moktar berkata, selain kawasan panas, pihaknya juga telah mengenal pasti 112 pusat pemindahan banjir untuk menempatkan mangsa banjir sekiranya perlu nanti.
Kata beliau, kesemua pusat pemindaan banjir itu akan disanitasi sebagai langkah keselamatan awal untuk mengelak jangkitan wabak ketika banjir.
“Tempat-tempat itu menjadi tanggungjawab pihak bomba serta Kementerian Kesihatan (KKM) untuk melaksanakan sanitasi tambahan pula negara masih berdepan pandemik Covid-19.
“Persiapan ini semua dilakukan awal agar memudahkan kita berdepan sebarang kemungkinan nanti.
“Selain itu, pelbagai peralatan untuk operasi menyelamat seperti bot, lain-lain aset juga sudah disediakan,” katanya ketika ditemui hari ini.
Ketika ini pasukan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang mempunyai kekuatan 925 anggota melibatkan 20 Balai Bomba dan Penyelamat. – MalaysiaGazette