Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – UMNO memberi amaran kepada ahlinya yang melakukan kerja sabotaj sehingga meruntuhkan kerajaan Melaka secara automatik keahliannya akan tergugur.

Timbalan presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan memberi peringatan itu berikutan spekulasi bertiup kencang mengenai pergolakan kerajaan Melaka yang mungkin jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH).

“Jika didapati ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang melakukan kerja itu dan boleh menjatuhkan kerajaan, maka secara automatik keahliannya akan tergugur.

“Itu sajalah bagi pihak parti. Saya berharap wakil rakyat, Ketua Menteri dan Speaker dapat memainkan peranan,” katanya ringkas menjawab kemelut yang berlaku di Melaka.

Pergolakan politik di kalangan wakil rakyat UMNO dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di negeri itu dikatakan nyaris mengundang pertukaran kerajaan.

Kekecohan itu bertiup kencang selepas dikatakan empat wakil rakyat atau ADUN termasuk dua dari UMNO dan BN hendak melompat kepada PH.

Daripada empat ADUN itu, antara yang disebut adalah ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee; ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron; ADUN Pantai Kundor, Nor Azman Hassan; dan ADUN Telok Mas dari PPBM, Noor Effendi Ahmad.

Jika benar khabar angin itu, Melaka bakal menyaksikan pertukaran kerajaan dari PN kepada PH, yang mana sebelum ini Melaka ditadbir oleh Barisan Nasional (BN) dan bertukar tangan kepada PH selepas PRU14.

Bagaimanapun, Norhizam dan Idris telah menafikan dakwaan itu semalam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.