JOHOR BAHRU – Sebanyak 7,740 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) semasa Op Patuh dilaksanakan di seluruh negara sejak Jun sehingga semalam.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, dianggarkan lebih 2.2 juta premis telah diperiksa dalam operasi itu.
Selain tindakan kompaun, sebanyak 4,622 premis diarahkan tutup kerana didapati melanggar SOP ditetapkan, ujarnya.
“Seramai 3,442 pasukan pematuhan dengan kekuatan keseluruhan seramai 14,959 pegawai dan anggota polis terbabit Op Patuh di seluruh negara yang turut melibatkan agensi-agensi lain seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan sebagainya.
“Menerusi Op Patuh, pemeriksaan berterusan dilakukan di kawasan kilang, tapak pembinaan, asrama penempatan pekerja dan premis perniagaan,” katanya.
Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas Program Penyerahan Sumbangan Kepada Pesara PDRM di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.
Tindakan kompuan dan penutupan premis yang dikenakan kerana mendapati premis berkenaan tidak mempunyai surat kebenaran beroperasi daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
“Selain itu, keseluruhan SOP di dalam premis juga dipastikan dipatahui sepenuhnya sewaktu pemeriksaan dilakukan. Tindakan akan diambil jika SOP didapati dilanggar.
“Pemeriksaan secara berterusan menerusi Op Patuh ini dilakukan dari masa ke semasa sehingga kita mendapat arahan selanjutnya,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Pengurusan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Gerakan Am Bukit Aman, Datuk Kasuahdi Ali dan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay. – MalaysiaGazette