Tapak binaan surau bangi penduduk KOA Kg. Simpai, Pekan akan memulakan pembinaannya pada hujung Disember ini.

PEKAN – Penduduk masyarakat Orang Asli di Kampung Simpai, Pekan menarik nafas lega apabila projek membangunkan surau di kampung itu bakal disambung Disember ini.

Pengurus Projek Kampung Orang Asli Kampung Simpai, Mohd Sahaimi Zainal berkata, projek yang sepatutnya bermula tahun lalu tergendala akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak tahun lalu.

Jelasnya, apabila Pahang sudah memasuki Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN), projek pembinaan surau baharu yang menelan kos RM200,000 ini bakal dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Proses terkini menanti pelan akhir seteleh mendapat kelulusan Majlis Agama Islam Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

“Pembinaan surau baru ini dijangka memakan masa selama enam bulan jika tiada sebarang masalah.

“Semakin ramai yang memeluk agama Islam dan pihak kami merancangkan pelbagai aktiviti buat saudara baru di kampung ini seperti kelas mengaji, tazkirah dan lain-lain,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.

Tambahnya, apabila siap pihaknya akan memohon kebenaran daripada MUIP untuk menjadikannya Surau Jumaat memandangakan ia mampu menampung 80 orang jemaah.

“Ini sekali gus dapat menampung jemaah daripada kampung yang berhampiran untuk menunaikan solat Jumaat.

“Jika dahulu penduduk terpaksa berulang berbelas kilometer ke kampung sebelah untuk menunaikan Solat Jumaat,” ujar Sahaimi.

Seramai 40 penduduk orang Asli di sini memeluk agama Islam dalam tempoh empat tahun.

Orang ramai yang berhasrat untuk menyumbang pembinaan surau tersebut boleh berbuat demikian dengan menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank milik Malaysia Relief Agency Pahang bernombor 556011094202. – MalaysiaGazette