BERMULA tahun 2019, Kementerian Pendidikan telah mengisytiharkan 5 Oktober sebagai Hari Akademia Malaysia, bagi menghargai jasa dan sumbangan kumpulan akademik di institut pendidikan tinggi (IPT) yang merangkumi tenaga pengajar
politeknik, institut perguruan, kolej dan universiti awam dan swasta. Malaysia merupakan negara pertama mengadakan hari khusus bagi menghargai sumbangan komuniti akademia yang merangkumi kira-kira 70,000 tenaga pengajar di IPT.
Sambutan ini adalah sebagaimana negara meraikan Hari Guru Kebangsaan pada 16 Mei di peringkat sekolah rendah dan menengah. Idea Hari Akademia ini telah dicetuskan oleh bekas Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Malik. Tarikh ini juga adalah bersamaan dengan Hari Guru Sedunia UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu). Selain itu, Oktober juga diperkenalkan sebagai Bulan Akademia di semua IPT.
Ia antara inisiatif kementerian bagi menghargai jasa dan sumbangan seluruh kakitangan akademik pada pelbagai peringkat pengajian lepasan sekolah. Pelbagai program wacana dan intelektual dilaksanakan sebagai pengisian program sepanjang bulan ini. Ahli akademik iaitu pensyarah terikat dengan tujuh skop tugas atau dikenali sebagai 7P iaitu pengajaran dan pembelajaran, penerbitan, penyeliaan, penyelidikan, perundingan, penulisan dan juga perkhidmatan sosial kepadamasyarakat.
Kini, kerjaya ahli akademik semakin rencam dan pelbagai. Ia mungkin dilihat sebagai antara kerjaya pilihan bagi mereka yang meminati pengajaran dan melakukan penyelidikan. Mengajar merupakan tugas hakiki ahli akademik, malah mereka juga berdepan kerenah pelajar dalam kelas. Namun, mereka tetap berkongsi ilmu akademik tanpa culas, malah turut dikehendaki melunaskan tugasan lain dalam usaha meninggikan tahap kesarjanaan mereka.
Pada tahun-tahun belakangan ini, amalan penarafan universiti (university ranking) semakin mendapat tempat dan penyelidikan menjadi salah satu bidang tugas yang mesti juga dijalankan oleh ahli-ahli akademik. Penyelidikan ini boleh dijalankan mengikut bidang kepakaran mereka ataupun melalui kolaborasi penyelidikan bersama bidang lain. Mereka juga akan berkongsi dapatan kajian malah turut menghasilkan pelbagai inovasi yang dapat digunakan oleh masyarakat amnya. Dalam pada itu, pensyarah perlu mendapatkan dana penyelidikan sama ada peringkat nasional ataupun antarabangsa.
Ia boleh dilaksanakan melalui penyertaan bersama rakan akademia lain dari dalam dan luar negara. Namun, tugas menyelidik bukanlah baru dan ia menjadi semakin signifikan
pada masa kini kini lebih-lebih lagi apabila Malaysia dan dunia menuju ekonomi berpaksi inovasi, yang menuntut penyelidikan yang lebih berimpak kepada masyarakat dan industri, dengan penjanaan peluang pekerjaan baru dalam sektor berteknologi tinggi sejajar dengan era Revolusi Industri 4.0. Penerbitan juga merupakan elemen penting dalam indeks prestasi utama (KPI)
pensyarah.
Penulisan dalam jurnal adalah risalah terbaik yang memperlihatkan hasil penyelidikan dan teknologi terkini dalam dunia semasa selain penerbitan persidangan, seminar atau sebagainya. Dalam pada itu, penulisan buku sama ada dalam bidang mereka sendiri, kreatif ataupun sastera dilaksanakan dalam memastikan ilmu diperoleh dapat dimanfaatkan oleh semua lapisan masyarakat. Penulisan artikel secara santai di akhbar dan majalah juga boleh meningkatkan visibility seorang pensyarah.
Penyeliaan pelajar sarjana muda dan pascasiswazah merupakan antara tugas wajib yang dilakukan ahli akademik, walaupun jadual seharian yang sangat padat. Tugas sebagai seorang penyelia menuntut mereka meneliti kerja akademik pelajar di samping melawat organisasi yang terbabit latihan industri pelajar. Selain itu, kerja perundingan juga dijalankan mengikut kepakaran masing-masing. Hal ini diterjemahkan melalui kerjasama dengan pelbagai pihak swasta dan agensi lain serta institusi luar negara bagi membincangkan sesuatu isu atau masalah.
Namun begitu, daripada perspektif yang berbeza, kerencaman tugas akademia menjanjikan pelbagai peluang untuk diteroka baik di dalam atau luar kampus. Peluang yang terhidang seperti bersama-sama merangka polisi untuk pihak kementerian menjanjikan satu pulangan besar kepada pelbagai pihak. Dengan kebijaksanaan yang dimiliki oleh para ahli akademik juga, mereka dapat menghubungkan pelbagai tugas ini agar mencipta impak yang lebih ketara.
Tuntasnya, ahli akademik merupakan antara tulang belakang yang akan menguatkan institusi pendidikan di negara kita yang seterusnya boleh dijadikan sebagai tarikan kepada pelajar atau penyelidik dari luar. Sistem pendidikan yang berkualiti dengan pengajaran yang dinamik, penyelidikan yang berimpak dan sokongan kerajaan mampu menjadikan Malaysia muncul sebagai hub pendidikan yang cemerlang di masa akan datang.
Selamat Hari Akademia buat seluruh ahli akademik di Malaysia! Teruskan perjuangan mendidik anak bangsa!
Dr. Wan Mohd Nuzul Hakimi Wan Salleh
Pensyarah Kanan di Jabatan Kimia,
Fakulti Sains dan Matematik,
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)