Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan. foto HAZROL ZAINAL, 10 FEBRUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini merupakan entiti yang berbeza dengan UMNO.

Meskipun Ismail Sabri merupakan Naib Presiden UMNO, ia tidak bermakna pendirian parti itu berubah apabila kerajaan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) kerjasama rentas parti baru-baru ini.

Sebaliknya kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, pendirian parti itu tidak pernah berubah sekali pun tidak membelakangkan keputusan parti pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini untuk kekal tidak akan bekerjasama dengan parti pembangkang.

“Parti tetap dengan dasar parti. Ini tidak ada kena mengena dengan parti, parti tetap dengan keputusan semasa PAU, melainkan parti ubah dasar itu

“Ini (MoU) urusan kerajaan. Mengadakan persefahaman supaya semua orang tumpu kepada mengurus negara, berhentilah sekejap daripada politik yang tidak menentu, negara menghadapi krisis Covid-19 dan mengurus ekonomi negara.

“Tetapi iniah yang saya nak sebut banyak orang tidak faham adakah UMNO membelakangkan keputusan parti? Tidak. Jauh tidak. Kerana kerajaan dan parti dua entiti yang berbeza walaupun Naib Presiden, PM dari UMNO tapi tidak sepenuhnya kepunyaan parti,” katanya pada program Bual Bicara Terus Terang yang disiarkan menerusi UMNO Online, malam ini.

Tambah beliau, dengan adanya MoU itu, maka kerajaan pada hari ini akan dapat menumpukan perhatian menjadi pemerintah yang berfungsi untuk mengurus negara.

“Supaya kerajaan tidak diganggu gugat, Perdana Menteri tidak boleh setiap malam fikir esok aku ada lagi atau tidak. Jadi Perdana Menteri tidaklah terlampau risau jadi bolehlah semua anggota Kebinet menumpukan fokus mengurus negara.

“Ini satu perkara dilakukan kerajaan untuk memberi nafas kepada kerajaan tanpa risau PM selalu diancam oleh pembangkang,” tambah beliau.

Mengulas lanjut katanya, MoU bukan sesuatu yang asing bagi UMNO yang sebelum ini telah mempraktikannya apabila menubuhkan Barisan Nasional (BN) yang terdiri daripada pelbagai kaum untuk bekerjasama menubuhkan kerajaan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast