Lakaran artis Melaka Sentral yang bakal dibangunkan di Peringgit.

MELAKA – Melaka Sentral, sebuah terminal pengangkutan bersepadu yang baharu akan dibangunkan di bandar Peringgit, dekat sini dengan kos pembinaan sebanyak RM3.5 bilion.

Pembangunan projek di tapak terminal sedia ada itu dimeterai antara anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka iaitu Melaka Sentral Sdn. Bhd. (MSSB) dengan syarikat pelabur dan pemaju, Goodyield Development Sdn. Bhd. (GDSB) baru-baru ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali Sulaiman berkata, Melaka Sentral yang  baharu itu bakal menjadi pemangkin agenda pembangunan ekonomi negeri dan hab pengangkutan termoden di negara ini.

“Pembangunan itu melibatkan keluasan kasar terminal sebanyak 743,775 kaki persegi dengan nilai pembangunan kasar RM372 juta yang akan diserahkan kepada MSSB dan boleh menempatkan 340 ruang niaga untuk disewakan,” katanya.

Projek di atas tapak seluas 18 ekar itu bakal menempatkan lima bangunan terminal utama, pusat beli belah, lot komersial di setiap sektor, masjid, hotel, hab monorel, pusat penganjuran acara, pejabat, klinik, pawagam dan pusat hiburan.

Sulaiman berkata, perjanjian pembinaan terminal ikonik itu akan dilaksanakan melalui Inisiatif Pembiayaian Swasta (PFI).

“GDSB sedia menawarkan penyelesaian hutang pinjaman bank MSSB daripada bahagian untung tetap kepada MSSB untuk setiap sektor pembinaan.

“Secara keseluruhan jumlah manfaat kewangan diterima MSSB apabila siap projek pembangunan semula Melaka Sentral ini dianggarkan RM466 juta,” ujar beliau.

Tambahnya, jumlah itu tidak termasuk pendapatan tahunan berbentuk pendapatan berulang daripada perkongsian hasil sewaan dan pengurusan petak letak kereta yang dianggarkan berjumlah RM1.5 juta hingga RM2 juta setahun.

Sulaiman berkata, pembangunan Melaka Sentral akan dilaksanakan melalui lima sektor pembinaan secara berperingkat-peringkat yang dijangka bermula pada Jun 2022 dan disiap sepenuhnya pada tahun 2029.

Bagi sektor pertama, projek ini merangkumi pembangunan bangunan terminal utama untuk ketibaan dan pelepasan, blok kondomium, hotel, 18 buah pawagam dan lot komersial yang dijangka siap pada 2024.

Sektor kedua melibatkan terminal ekspres wilayah selatan, satu block kondominium, zon hiburan dan ruang komersial yang akan disiapkan pada Jun 2025.

Manakala sektor ketiga pula adalah terminal ekspres wilayah tengah, dua blok kondominium dan lot komersial yang siap pada Disember 2026.

Sektor keempat terminal ekspres wilayah utara, satu blok kondominium dan ruang komersial yang akan siap pada 2028 dan terakhir terminal ekspres bagi wilayah timur, sebuah masjid, satu blok kondominium, hab monorel, dewan banquet dan ruang komersial yang dijangka siap pada 2029,” katanya.

Pengerusi Lembaga Pengarah Melaka Sentral Sdn. Bhd. (MSSB) Datuk Wira Hasnoor Sidang Husin berkata, pembinaan zon ekonomi baharu itu diharap akan memberi limpahan rezeki kepada rakyat negeri itu.

Katanya, selain menyediakan pelbagai peluang pekerjaan dan perniagaan, projek itu juga akan dipastikan memberi keutamaan dan manfaat kepada syarikat-syarikat kontraktor tempatan dalam kontrak pembinaannya.

“Saya juga sudah pesan kepada pemaju iaitu Goodyield Development Sdn Bhd (GDSB) supaya memberi keutamaan kepada kontraktor-kontraktor tempatan.

“Apa guna kita ada pembangunan yang besar kalau syarikat tempatan tidak dapat nikmat darinya. Pihak pemaju juga telah bersetuju memperuntukkan beberapa peratus kerja-kerja pembinaan untuk tujuan itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif GDSB, Wellen Remy Rizal ketika menjelaskan pembinaan projek itu berkata, pembinaan Melaka Sentral akan mengadaptasi konsep dan reka bentuk pasca-Covid-19 dan teknologi 5G.

“Cadangan pembangunan kita reka dan kemaskan dengan konsep pasca Covid-19 untuk kesesuaian cara hidup dengan norma baharu untuk mengurangkan risiko jangkitan wabak” ujar beliau.

Misalnya, ia dirancang secara berbeza dengan menggantikan ruang-ruang yang rapat dan sempit dengan lebih banyak binaan terbuka,” katanya.

Selain itu, keseluruhan bangunan yang turut menempatkan unit kediaman kondominum setinggi 38 tingkat itu juga dibina dengan memaksimumkan kemudahan berteknologi 5G.

“Projek Melaka Sentral akan dibangunkan dengan konsep teknologi 5G terbina dalam, berbeza dengan bangunan-bangunan lain yang dibina tanpa memikirkan potensi teknologi itu.

“Ini termasuk adaptasi teknologi 5G yang akan digunakan secara menyeluruh sama ada dari pihak pengurusan bangunan, peniaga dan juga pengunjung,” katanya.

Mengulas lanjut, projek Melaka Sentral katanya dibangunkan bertema ‘5 Kelopak Bunga Kesidang’ yang merupakan bunga rasmi Kerajaan Negeri Melaka.

“Terminal ini dipecahkan kepada 5 sektor utama yang setiap satunya dihubung dengan laluan penyambung termasuk jejantas, laluan pejalan kaki dan basikal,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast