Sulaiman Md. Ali

KUALA LUMPUR – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali melahirkan rasa kecewa terhadap empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menarik semula sokongan terhadap kepimpinannya.

Menurutnya, semua permintaan dan permohonan yang dibawa mereka telah dilaksanakan sebaik mungkin dan beliau tidak menjangka keempat-empat ADUN itu akan bertindak secara tidak bertanggungjawab.

“Sudah pastilah (kecewa) dalam keadaan yang sukar hari ini, masing-masing tahu kita berusaha untuk memulihkan kerajaan ini terutamanya ekonomi dan juga kesihatan dan mereka yang buat kerjasama tapi akhirnya mereka meruntuhkan (kerajaan negeri) di mana kita baharu beralih ke fasa ketiga PPN (Pelan Pemulihan Negara).

“Tujuan dan matlamat kita untuk kerjasama bagi memulihkan ekonomi dan kesihatan negeri, mereka yang sendiri yang merobek,” katanya pada sidang media di kediaman Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, hari ini.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, beliau tidak pernah ada masalah dengan mana-mana pihak sebelum ini, termasuk empat ADUN yang bertindak menarik semula sokongan terhadapnya.

“Apa yang dipinta dan dipohon saya laksanakan dengan sebaik mungkin. Jadi apabila menyatakan bahawa kerajaan ini kerajaan yang sebaliknya maka saya tidak tahu apa nak cakap.

“Selama ini hubungan saya dalam mesyuarat, apa yang diperlukan saya sentiasa bantu dan berikan kerjasama. Hari ini apabila mereka buat pengumuman dan saya serahkan kepada Pengerusi Perhubungan BN untuk tentukan hala tuju kerajaan yang ada pada hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, Sulaiman turut menolak dakwaan wujud campur tangan luar dalam pentadbiran beliau sebagai Ketua Menteri Melaka.

“Tiada (campur tangan luar), keputusan mesyuarat Exco adalah keputusan bersama, mana ada campur tangan luar,” jawab Sulaiman.

Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron bersama tiga lagi ADUN Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan bebas hari ini mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Sulaiman.

Surat pemakluman mengenai perkara itu serta peletakan jawatan Idris bersama ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad dan ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bertarikh 30 September lalu diserahkan kepada Sulaiman di Pejabat Ketua Menteri Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh pagi tadi.

Pada sidang media hari ini, Idris yang juga ADUN Sungai Udang mendakwa penarikan sokongan itu berikutan ketidakyakinan mereka terhadap beberapa keputusan kerajaan negeri yang flip-flop serta tidak dilaksanakan dengan sempurna. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast