Antara PATI dari Indonesia yang diusir selepas menyelinap masuk ke sarawak untuk mencari pekerjaan di perladangan dalam empat serbuan berasingan sejak 1 hingga 4 Oktober 2021. Ihsan foto: Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div)

KUALA LUMPUR – Seramai 15 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang cuba menyelinap masuk ke dalam negeri Sarawak untuk pekerjaan dalam sektor perladangan diberkas dan diusir keluar daripada negeri itu.

Menurut kenyataan Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div), pengusiran yang dilakukan dalam tempoh empat hari sejak 1 Oktober lalu dalam empat kejadian berasingan.

Katanya, pengusiran pertama dilakukan pada jam 3.50 petang Jumaat lalu apabila tiga individu berusia di antara 19 hingga 45 tahun dikesan cuba memasuki kawasan Ladang Tetangga Akrab, Balai Ringin dari arah Indonesia.

“Manakala pengusiran kedua berlaku pada Sabtu di Lubok Antu pada jam 7.55 malam melibatkan seramai empat orang PATI berusia di antara 22 hingga 47 tahun terdiri daripada seorang wanita dan tiga lelaki ditahan dan diusir setelah masuk ke sempadan Malaysia melalui lorong tikus.

“Pengusiran ketiga pada 3 Oktober lalu di Kampung Padang Pan, Serikin, Bau pada jam 2.28 petang melibatkan 2 PATI lelaki yang berusia 24 dan 24 tahun ditahan dan diusir setelah masuk secara haram ke Malaysia,” katanya.

Antara PATI dari Indonesia yang diusir selepas menyelinap masuk ke sarawak untuk mencari pekerjaan di perladangan dalam empat serbuan berasingan sejak 1 hingga 4 Oktober 2021. Ihsan foto: Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div)

Tambah kenyataan itu, pengusiran keempat berlaku pada 4 Oktober 2021 di sekitar Biawak, kira-kira 300 meter dari sempadan Malaysia-Indonesia.

Pengusiran keempat itu membabitkan enam PATI berusia antara 20 hingga 46 tahun yang terdiri daripada seorang wanita dan lima lelaki ditahan dan diusir setelah masuk ke Malaysia secara haram menggunakan laluan tikus, ujarnya.

“Kesemua 15 PATI yang diusir dalam tempoh empat hari pertama di bulan ini selepas ditangkap menyatakan bahawa tujuan mereka menyelinap masuk adalah untuk mencari pekerjaan di pelbagai sektor di Sarawak.

“Malah kesemua mereka juga tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” kata markas tersebut. – MalaysiaGazette