Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR – Malaysia tidak menghadapi masalah berkaitan krisis bekalan tenaga sebagaimana berlaku di beberapa negara lain termasuk China, Eropah dan India.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, krisis yang berlaku di negara itu antara lain disebabkan peningkatan permintaan kepada gas asli bagi menghadapi musim sejuk dan kenaikan mendadak harga gas asli serta arang batu.

Beliau memberi contoh, harga arang batu yang pada awal tahun ini sekitar AS$80 satu tan sekarang telah mencecah sekitar AS$200 satu tan pada Oktober ini.

Menurutnya, berdasarkan definisi Agensi Tenaga Antarabangsa atau International Energy Agency (IEA), sekuriti tenaga bermaksud ketersediaan bekalan tenaga tanpa gangguan pada harga yang berpatutan.

“Sekuriti tenaga mempunyai banyak aspek. Ini termasuk keselamatan bekalan tenaga jangka panjang untuk menyediakan tenaga selaras dengan perkembangan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.

“Manakala sekuriti tenaga bagi jangka pendek, merujuk kepada kemampuan sistem tenaga untuk segera bertindak balas terhadap perubahan mendadak dalam keseimbangan penawaran dan permintaan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan dari Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai (PH) yang memintanya menyatakan keadaan sekuriti tenaga di Malaysia pada kala berlaku krisis tenaga global.

Menurut Mustapa, kerajaan menerusi Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dan agensi seperti Petronas, Suruhanjaya Tenaga, dan Tenaga Nasional Berhad sentiasa melaksanakan langkah bersesuaian bagi memastikannya terjamin setiap masa.

Ahli Parlimen Jeli itu turut memaklumkan, jumlah bekalan tenaga di Malaysia disumbangkan oleh 41 peratus gas asli, 25.8 peratus minyak mentah, 22.3 peratus arang batu dan 6.2 peratus daripada hidro serta lain-lain sumber tenaga boleh baharu.

“Alhamdulillah, negara kita berada dalam keadaan yang baik kerana sumber penjanaan elektrik negara telah berjaya dipelbagaikan iaitu 47 peratus arang batu, 41 peratus gas asli dan 12 peratus tenaga boleh baharu termasuk hidro.

“Selain itu, rizab margin kapasiti terpasang elektrik di Semenanjung Malaysia adalah tinggi iaitu sebanyak 38 peratus, manakala kapasiti terpasang kira-kira 27,000 megawatt berbanding permintaan maksimum sebanyak 19,000 megawatt.

“Pada masa ini, UPEN, KASA dan KeTSA bersama beberapa pihak berkepentingan lain sedang merangka Dasar Tenaga Negara 2021 hingga 2040,” katanya.

Beliau berkata, dasar itu bertujuan meningkatkan daya tahan ekonomi dan jaminan bekalan tenaga, mencapai kesaksamaan dan keadilan sosial serta memastikan kelestarian alam sekitar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast