Kira-kira 50 penduduk luar bandar Guatemala menyerang jururawat kerana enggan divaksin. foto Kementerian Kesihatan Guatemala

GUATEMALA CITY – Penduduk anti-vaksin di sebuah perkampungan di luar bandar Guatemala menyerang jururawat yang sedang berusaha untuk memberi suntikan vaksin Covid-19 dan menahan mereka selama tujuh jam.

Kira-kira 500 orang menyekat jalan dan merosakkan kereta petugas kesihatan di Maguila, di wilayah utara Alta Verapaz.

Bagaimanapun, 11 petugas kesihatan itu dibebaskan setelah polis berunding dengan penduduk kampung yang telah merosakkan kira-kira 50 dos vaksin.

Pihak berkuasa mendakwa maklumat salah berhubung ketahanan terhadap vaksin menyebabkan bantahan penduduk di situ.

Kementerian Kesihatan berkata, jururawat-jururawat berkenaan diserang secara lisan dan fizikal oleh penduduk apabila mengeluarkan angin tayar kenderaan petugas dan menghancurkan kotak sejuk yang menyimpan dos vaksin.

“Kami sangat takut kerana kami tidak pernah melalui keadaan seperti ini. Kami hanya menjalankan tugas kami,” kata seorang jururawat.

Katanya, petugas kesihatan cuba menjelaskan beberapa kali bahawa vaksinasi dilakukan secara sukarela dan tidak mahu memaksa siapa pun, namun mereka tidak membenarkan petugas melakukan vaksinasi.

Media tempatan melaporkan penduduk menolak vaksin itu kerana seorang penduduk kampung yang menerima vaksin mengalami kesan sampingan, yang ditafsirkan sebagai masalah kesihatan selepas menerima suntikan.

Kira-kira 2.5 juta penduduk atau 25% penduduk Guatemala yang layak telah divaksinasi.

Kadar itu adalah terendah di Latin Amerika.

Sehingga hari ini, negara ini merekodkan lebih 566,000 kes jangkitan Covid-19 dengan 13,750 kes kematian. – BBC

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast