KUALA LUMPUR – Isu berhubung hala tuju perolehan enam kapal tempur pesisir pantai (LCS) menjadi ‘perang mulut’ antara Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Isu yang berbangkit sejak tahun 2010 sehingga kepada pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu masih menjadi tanda tanya atau gagal mendapat jawapan tepat daripada menteri walaupun termasuk bekas menterinya, Mohamad Sabu dari PH pada 2018 hingga Mac 2020.
Soalan pada mulanya dikemukakan Anwar berkenaan proses tender, iaitu siapa yang masuk tender, berapa kos dan apa perbandingan dengan kos yang sama oleh negara lain yang memberi kemudahan sama.
“Itu sahaja yang kita nak tahu, kos dan proses tender yang telus,” kata Ketua Pembangkang yang tidak berpuas hati dengan jawapan diberikan Hishammuddin.
Hishammuddin dengan tenang menjawab, tender yang sedia ada tidak berubah dari dulu lagi tetapi dalam kes iru yang menjadi isu ialah kelewatan pembinaan dan jalan penyelesaian yang perlu dilakukan.
Menurut Ahli Parlimen Sembrong itu, ketika PH menerajui kerajaan pun mereka terpaksa menghadapinya.
“Mohamad (Mat Sabu) sebagai Menteri Pertahanan pada masa itu pun sudah mengenal pasti masalah ini, yang mana kontraktor gagal siap reka bentuk, kontraktor lewat muktamadkan perolehan sebahagian peralatannya dan yang paling penting kualiti kerja yang tidak mengikut spesifikasi.
“Di bawah beliau (Mat Sabu) Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus Perolehan Kewangan Kerajaan telah ditubuhkan dan siasatan berjalan seperti apa yang disyorkan oleh kerajaan ketika itu.
“Pemimpin Kementerian Pertahanan dan dan saya sendiri diminta memberi penjelasan sama ada kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Bukit Aman,” katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 di Parlimen.
Beliau cuba menjawab soalan dibangkitkan Anwar yang tiga kali bangun mencelah mengajukan pertanyaan sama kerana mendakwa Hishammuddin tidak menjawab apa yang ditanyanya.
Menurut Hishammuddin, apa yang dibangkitkan beliau di Dewan Rakyat hari ini adalah cadangan RMK-12 dan mahu melihat ke hadapan, bukan mengungkit perkara lama.
“Hendak melihat ke hadapan ini, saya sudah pecahkan kategori kontrak dan projek kepada tiga. Pertamanya, projek-projek sakit, lewat dan yang perlu dibayar denda. Kedua, projek yang saya perlu putuskan sekarang, di sini (di Parlimen),” katanya.
Timbalan Speaker, Datuk Seri Azalina Othman Said kemudiannya meminta Hishammuddin menjawab perkara asas sahaja memandangkan masa diperuntukan untuk penggulungan tidak mencukupi. – MalaysiaGazette