KUALA LUMPUR – Tidak mahu disuntik vaksin tetapi mahu menikmati kebebasan yang diberikan kerajaan kepada mereka yang lengkap menerima vaksin.
Golongan antivaksin sanggup berbuat apa sahaja untuk untuk mendapatkan sijil vaksinasi atau ‘surat pelepasan’ doktor yang menunjukkan mereka tidak sesuai menerima suntikan.
Seorang doktor hospital kerajaan ketika dihubungi berkata, beliau pernah dihubungi seorang wanita berusia lebih 60 tahun yang berpendidikan, tetapi meminta diberikan suntikan palsu.
Katanya, wanita itu meminta supaya disuntik dengan “jarum kosong” untuk membolehkannya menerima sijil vaksin.
“Berbanding ubat dan vaksin yang ada, wanita ini lebih percaya kepada cara rawatan semulajadi yang dikatakan dapat menguatkan imuniti badan.
“Wanita ini juga menjelaskan bahawa telah membaca banyak maklumat mengenai vaksin dan tidak yakin dengan vaksin yang digunakan,” katanya kepada China Press.
Selain permintaan “jarum kosong” , ramai orang turut meminta surat doktor untuk “melepaskan” mereka daripada menerima suntikan.
“Ada yang memberi alasan kulit sensitif dan tidak sesuai disuntik, tetapi mereka mahu mendapat surat daripada doktor untuk balik ke tempat kerja.
“Hakikatnya, doktor tidak akan mengeluarkan surat seperti ini secara sewenang-wenangnya kerana ia memerlukan proses pemeriksaan yang teliti dan berhati-hati.
“Yang pasti, peluang untuk mendapat ‘surat pelepasan’ daripada doktor adalah sangat kecil,” katanya.
Jelasnya, doktor hanya akan mengadakan pemeriksaan lanjut sekiranya individu berkenaan berdepan alergik yang teruk selepas menerima suntikan vaksin dos pertama.
Sementara itu, seorang lagi doktor memberitahu, dia telah menerima sekurang-kurangnya 10 permintaan ‘surat pelepasan’, tetapi kesemuanya ditolak.
“Sesetengah doktor mungkin terjerat apabila berdepan pujukan dan akhirnya melakukan kesilapan.
“Doktor yang bersekongkol untuk melakukan pemalsuan akan berdepan tindakan undang-undang dan lesen mereka juga akan digantung,” katanya. – MalaysiaGazette