Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengambil langkah proaktif untuk mengatasi kemerosotan ekonomi akibat wabak pandemik Covid-19 melalui pelaksanaan inisiatif di bawah pakej rangsangan ekonomi.

Setakat ini, kerajaan telah memperkenalkan lapan pakej rangsangan ekonomi dan bantuan rakyat berjumlah RM530 bilion untuk memelihara kesejahteraan rakyat, memastikan kelangsungan perniagaan dan merangsang ekonomi.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) 2021-2025 adalah pelan pembangunan lima tahun dengan matlamat “Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan”.

Ia katanya, bertujuan menangani isu semasa dan pada masa sama memulih serta merancakkan semula pembangunan sosioekonomi negara untuk kemampanan dan kemakmuran jangka panjang.

“Seperti dinyatakan dalam pembentangan Perdana Menteri, RMK-12 akan memberi kepada sembilan fokus utama, antaranya, dua fokus utama adalah khususnya untuk memulih dan memperkukuh asas ekonomi.

“Fokus pertama, iaitu merancakkan pertumbuhan ekonomi memberi tumpuan kepada usaha mengembalikan semula momentum pertumbuhan semua sektor ekonomi dan mewujudkan sumber pertumbuhan baharu.

“Ini termasuklah melonjakkan pertumbuhan beberapa industri yang strategik dan berimpak tinggi akan dilonjakkan seperti elektrik dan elektronik, perkhidmatan global, aeroangkasa dan aktiviti pertanian pintar,” katanya dalam sesi pemberitahuan pertanyaan lisan di Parlimen, hari ini.

Mustapa berkata, momentum itu juga turut memperkasa transformasi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS); melonjakkan pertumbuhan produktiviti melalui aktiviti penyelidikan dan inovasi dan penggunaan teknologi termaju.

Ia juga untuk memperkukuh ekosistem bagi menyokong pelaburan swasta dan membangunkan tenaga kerja mahir serta menarik pelaburan berkualiti dan meletakkan Malaysia sebagai hab pelaburan di rantau ini.

Fokus kedua, katanya, memperkukuh pemangkin pertumbuhan bagi memastikan infrastruktur diperkukuh dan bakat masa hadapan dibangunkan untuk memangkin pertumbuhan ekonomi.

Menurut beliau, antara tumpuan yang akan diberi termasuk mempercepat penggunaan teknologi dan inovasi akan ditumpukan kepada pendigitalan dan teknologi termaju, termasuk teknologi 4IR.

“Meningkatkan infrastruktur dan perkhidmatan digital bagi menangani pelbagai jurang digital dan mewujudkan ekosistem yang menyokong perkembangan ekonomi gig.

“Mempertingkat rangkaian rel dan jalan raya bersepadu yang menghubungkan lapangan terbang dan pelabuhan dengan kawasan perindustrian, bandar dan luar bandar, dan menambah baik sistem pendidikan negara serta menangani isu ketidakpadanan dalam pasaran pekerjaan,” katanya.

Menurut Mustapa, Bajet 2022 yang akan dibentangkan 29 Oktober menjadi pemangkin pelaksanaan RMK-12 untuk terus memacu pertumbuhan, keterangkuman dan kelestarian ekonomi dalam jangka sederhana.

Kerajaan juga akan terus menumpukan kepada usaha melindungi kebajikan rakyat, memastikan kelangsungan perniagaan dan membina semula ketahanan ekonomi dalam Bajet 2022.

Beliau menjelaskan, kerajaan komited untuk mengukuhkan kedudukan kewangan dalam jangka sederhana seperti yang digariskan bawah RMK-12 dengan defisit disasarkan berkurang kepada 3.5 peratus menjelang 2025.

Mesyuarat Jawatankuasa Fiskal Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri 30 September turut meneliti pelaksanaan pelbagai langkah fiskal dalam mencapai keseimbangan antara keperluan perbelanjaan kerajaan.

Katanya, dengan semua langkah proaktif diperkenalkan termasuk terkandung dalam RMK-12 dan Bajet 2022, kerajaan yakin kedudukan kewangan dan ekonomi negara akan bertambah kukuh, berdaya tahan dan mampan bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara. – MalaysiaGazette