JOHOR BAHRU – Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay tidak rasa terganggu dengan ribuan maklumat diterimanya menerusi mesej WhatApps dan surat layang susulan perkongsian nombor telefonnya pada platform media sosial.
Malah beliau mengganggap perkara itu banyak membantu polis Johor dalam menangani kegiatan jenayah.
Maklumat yang disalurkan orang awam itu akan diteliti terlebih dahulu sebelum tindakan diambil menerusi arahan kepada ketua-ketua polis daerah termasuk mengadakan serbuan dan tangkapan.
“Apa salahnya saya kongsi nombor telefon di media sosial. Itu bukan satu masalah besar kepada saya kerana dari situlah saya dapat banyak maklumat seperti dua hari lalu terdapat seorang indvidu mesej saya beritahu ada sebuah kelab malam di kawasan Johor Bahru Selatan yang terlalu bising.
”Jadi ketika itu saya arahkan ketua polis daerah di situ untuk melihatnya, rupanya betul dakwaan itu, kelab malam berkenaan beroperasi di mana ada 26 pengunjung sedang berhibur.
“Pihak polis kenakan kompaun sebanyak RM150,000 kerana langgar prosedur operasi standard (SOP),” katanya pada sesi dialog Program Mengukuh Integriti dan Menangani Rasuah Dalam Penjawat Awam di Lembaga Pertuduhan Peladang (LPP) Negeri Johor, di sini, hari ini.
Kata Ayob Khan, antara surat layang yang pernah diterima berkait dengan salah laku ketua polis daerah.
”Kebiasaannya, maklumat dari surat layang yang saya terima saya akan siasat dahulu, sama ada betul atau tidak perkara yang didakwa itu. Saya akan ambil tindakan jika maklumat yang disalurkan dalam surat layang itu benar.
“Bagi saya, saya perhatikan ia sebagai salah satu cara orang awam menyalurkan maklumat kepada polis selain menggunakan platform media sosial,” katanya. – MalaysiaGazette