Seorang bomoh, 34 yang akan didakwa menipu pasangan pesakit dengan meminta barang kemas bernilai lebih RM22,000 diiringi pegawai polis ketika di Kompleks Mahkamah Klang. Foto MOHD ADZLAN, 07 OKTOBER 2021.

KLANG – Seorang pengamal perubatan tradisional dipenjara lapan bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, atas pertuduhan menipu pasangan suami isteri dengan meminta barang kemas sebagai pengeras, antara Ogos dan September lalu.

Tertuduh, Mohd Izwan Ahmid, 34, atau lebih dikenali sebagai Tok Wan, membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sarulatha Paramavathar.

Mengikut pertuduhan, pada 21 Ogos 2021, Lot 3189, Kg Rantau Panjang, Jalan Kapar, Klang, tertuduh dengan curangnya menyalahgunakan harta iaitu 24 jenis emas bernilai RM22,910 yang diserahkan seorang individu untuk tujuan rawatan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga lima tahun dan boleh dikenakan sebatan serta denda.

Pada 21 Ogos 2021, kira-kira jam 8 pagi, seorang peniaga nasi kukus berada di Lot 3189, Kg Rantau Panjang, Jalan Kapar, Klang telah membuat satu panggilan kepada tertuduh.

Ia bagi urusan perubatan tradisional untuk isteri peniaga tersebut yang mengalami gangguan misteri sejak 19 Ogos 2021.

Dalam pertuduhan sama, kira-kira jam 9.21 pagi tertuduh bersama pembantunya datang ke rumah pasangan terbabit untuk merawat isteri peniaga tersebut yang sedang dalam gangguan misteri.

Semasa rawatan sedang dijalankan, tertuduh telah meminta semua barang kemas milik keluarga peniaga tersebut.

Kesemua 24 jenis barang kemas yang diminta tertuduh bernilai RM22,910 bagi tujuan membuang sihir yang berada di dalamnya.

Antara barang kemas itu ialah rantai kahwin, rantai tangan, rantai lipan, rantai leher dan loket, cincin biskut, cincin paku, cincin ketum kecil, loket beg tangan berjenama, loket ketum, subang biskut, cincin subang bulat, loket dan rantai, rantai Nicha, rantai halus loket syiling kecil, subang katup, dua set pandora halus, bit pandora, loket love kemek, lipan halus dan buah love serta cincin tunang.

Mengikut pertuduhan itu juga, setiap kali rawatan, pasangan itu perlu membayar kos yang dikenakan tertuduh dengan jumlah  keseluruhan sebanyak RM6,650.

Pada 21 September 2021, kira-kira 1.05 petang tertuduh sekali lagi datang ke rumah pasangan itu dengan membawa sebunjut kain berwarna kuning yang mengandungi barang kemas milik keluarga pengadu.

Tertuduh mengatakan agar keluarga pasangan itu hanya boleh membuka kain tersebut selepas 10 hari.

Bagaimanapun pada 28 September 2021 pasangan itu terkejut apabila membuka bungkusan kain kuning itu mendapati barang kemas tersebut berbeza dan dipercayai emas tiruan.

Terdahulu Timbalan Pendakwaraya, Nur’ain Madihah Zulkifli memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan jenayah yang dilakukan tertuduh, memandangkan barang kemas berkenaan masih belum ditemui setakat ini.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu mahkamah agar meringankan hukuman kerana dia tidak bekerja dan perlu menanggung empat orang anak serta seorang isteri.

Selepas mempertimbangkan permohonan tertuduh dan pihak pendakwaan, mahkamah membenarkan dia dikenakan hukuman penjara lapan bulan, berkuatkuasa dari tarikh ditangkap sejak 5 Oktober lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast