Timbalan Presiden IMAN, Datuk Mohamed Ismail Ibrahim

KUALA LUMPUR – Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) berharap kemelut politik yang melanda Melaka ketika ini tidak berlanjutan ke Pilihan Raya Negeri (PRN).

Timbalan Presidennya, Datuk Mohamed Ismail Ibrahim berkata, ini kerana negara masih dalam proses pemulihan pandemik walaupun hampir 90 peratus populasi dewasa di negara ini telah melengkapkan vaksinasi Covid-19

Jelas beliau, jika berlaku juga PRN di Melaka, tidak mustahil risiko kluster PRN Sabah mungkin akan kembali berulang.

“IMAN sarankan agar Kerajaan Pusat dapat mencapai satu kata putus dan menyelesaikan kemelut Melaka ke suatu masa akan datang dan sehingga itu kemungkinan satu perjanjian dapat dimeterai.

“Di kala kita baru membuka sektor-sektor ekonomi dan memberi satu kelegaan di kalangan syarikat dan rakyat keseluruhan, kita berharap agar kemelut ini tidak sampai hingga PRN kerana ini mungkin akan membawa kepada satu lagi kluster,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, IMAN berterima kasih kepada kerajaan di atas inisiatif dan dasar-dasar baru yang dibawa untuk merancakkan kembali ekonomi negara sekaligus memberi nafas kepada rakyat untuk menjana pendapatan.

Jelas beliau, ia telah memberi impak positif kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan mikro PKS untuk mula aktif walaupun kebanyakan mereka telah menggulung tikar.

“Kita perlu bersatu dalam pergelutan untuk memulihkan ekonomi negara kerana ini merupakan objektik utama yang perlu dicapai.

“Rakyat dan Negara perlu didahulukan buat masa ini,” katanya.

IMAN sebelum ini dikenali Parti India Muslim Bersatu Malaysia (PBIM) ditubuhkan pada 2019 bagi memperjuangkan kepentingan masyarakat India Muslim bertitik tolak daripada kekecewaan masyarakat itu bahawa tiada parti untuk membela nasib mereka.

Namun pada September tahun lalu, PBIM meminda perlembagaan parti dengan menukar nama kepada Parti Perikatan India Muslim Nasional atau IMAN.

Parti pimpinan Presiden, Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak itu kini memiliki lebih 13,000 ahli di seluruh negara kecuali Sarawak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast