PARIT BUNTAR – Mayat seorang lelaki dewasa, dipercayai mangsa perbuatan khianat, ditemukan tersangkut pada pukat di perairan Laut Ban Pecah, Sungai Burung di Tanjung Piandang semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian Superintenden Mazuki Mat berkata polis menerima maklumat awam mengenai penemuan itu pada 10.04 malam dan mayat telah dibawa ke jeti Polis Marin Kuala Kurau.

Beliau berkata mayat lelaki itu, yang dianggarkan berusia lingkungan 16 hingga 35 tahun serta meninggal dunia dalam tempoh beberapa hari, ditemukan dalam keadaan kaki dan tangan terikat dengan guni berisi pasir yang bertujuan menenggelam mangsa ke dasar laut.

“Pemeriksaan forensik di Hospital Raja Permaisuri Bainun mendapati keadaan mayat telah membusuk,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Mazuki berkata punca kematian ialah kecederaan di kepala akibat trauma tumpul dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaaan.

Katanya sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu atau kehilangan ahli keluarga boleh berhubung dengan balai polis berdekatan atau Pegawai Penyiasat ASP Ambri Mat Nayan di talian 011-1309 2525.

–BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast