Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin. Foto HAZROL ZAINAL, 30 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) tidak menyokong sebarang cadangan untuk mewujudkan satu lagi jawatan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada masa ini.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yaasin berkata, kewujudan dua jawatan tersebut seperti mana yang termaktub dalam Perkara 57(1)(b) Perlembagaan Persektuan adalah memadai bagi tujuan menjamin kelicinan perjalanan mesyuarat Dewan Rakyat.

Selain itu katanya, peruntukan Perkara 57(3) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan mana-mana ahli Dewan Rakyat mempengerusikan mesyuarat Dewan Rakyat pada masa ketiadaan yang di-pertua dan timbalan-timbalan yang di-Pertua Dewan Rakyat juga adalah memadai bagi tujuan menjamin kesempurnaan perjalanan mesyuarat Dewan Rakyat.

“Justeru, tiada keperluan bagi Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk menambah satu lagi jawatan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada masa ini.

“Cadangan pindaan perlembagaan ini memerlukan sokongan majoriti dua pertiga ahli-ahli Dewan Rakyat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Muhyiddin berkata, PN berpendirian bahawa persefahaman antara kerajaan dan pembangkang di Parlimen adalah terhad kepada perkara-perkara yang telah dipersetujui bersama dan termaktub secara jelas dalam Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani antara Perdana Menteri dan pimpinan Pakatan Harapan pada 13 September lepas.

Ujarnya, pindaan Perlembagaan untuk menambah jawatan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat tidak termaktub dalam memorandum persefahaman tersebut dan disebabkan itu tidak wajar bagi mana-mana pihak untuk menuntut pelaksanaannya.

“Atas dasar ini, Perikatan Nasional telah membuat pendirian untuk tidak menyokong sebarang cadangan pindaan perlembagaan bagi tujuan ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast