KUALA LUMPUR – Para pengusaha majlis perkahwinan di negara ini kecewa apabila industri berkenaan terus dipandang sepi oleh kerajaan walaupun kadar vaksinasi dewasa semakin menghampiri 90 peratus.
Presiden Persatuan Pengusaha Majlis Perkahwinan Malaysia (PPMPM), Zarinah Mohideen berkata, kesemua rakyat sudah tidak sabar menanti berita gembira untuk merentas negeri namun situasi sebaliknya berlaku terhadap pengusaha industri perkahwinan apabila mereka terus hidup dalam kegelapan gara-gara masih tidak mendapat kebenaran untuk beroperasi semula.
“Jika majlis korporat sudah dibenarkan untuk beroperasi dengan kapasiti 50 peratus ruang premis, mengapa aktiviti sosial seperti majlis perkahwinan masih lagi dilarang? Kedua-duanya sama sahaja iaitu acara berkumpul di dalam dewan.
“Kami juga mohon kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk kongsi prosedur operasi standard (SOP) majlis korporat secara lebih terperinci untuk dijadikan guidelines (panduan) supaya industri kami pun boleh beroperasi semula,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.
Mengulas lanjut, Zarinah berkata, pengusaha industri turut merasa kecil hati dengan kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menerusi ciapan Twitternya baru-baru ini apabila beliau masih belum yakin untuk kembali membenarkan aktiviti majlis sosial termasuk majlis perkahwinan.
Ujar Zarinah lagi, kebanyakan kedai makan dan restoran yang berkonsep bufet juga sudah lama memulakan operasi perniagaan namun mereka masih lagi tertunggu-tunggu lampu hijau dari kerajaan.
“Kebanyakan restoran pun pasti dilengkap pendingin hawa, sama lah macam dewan perkahwinan. Jangan kata restoran, sektor pelancongan pun sudah dibuka tapi kami ini masih dianaktirikan.
“Kami tidak kisah kalau hanya 50 peratus sahaja yang boleh memenuhi ruang dewan atau premis asalkan kami dapat beroperasi semula,” katanya.
Tambah Zarinah, PPMPM turut merancang untuk menghantar memorandum ke Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya sekiranya operasi industri berkenaan masih lagi disekat walaupun kadar vaksinasi sudah mencecah 90 peratus. – MalaysiaGazette