KUALA LUMPUR – Trafik di lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dijangka meningkat antara 1.1 juta hingga 1.3 juta kenderaan setiap hari apabila perjalanan antara negeri dibenarkan semula selepas pengumuman oleh kerajaan.
PLUS menjangkakan ramai penduduk Lembah Klang serta dari negeri-negeri lain akan merebut peluang yang ditunggu-tunggu ini untuk bersama keluarga dan sahabat handai.
“PLUS bersedia untuk membuka semula semua 94 plaza tol di seluruh wilayah utara dan selatan untuk menerima pertambahan kenderaan sebaik sahaja sekatan perjalanan antara negeri ditarik balik”, kata Datuk Zakaria Ahmad Zabidi, Ketua Pegawai Operasi PLUS Malaysia Berhad.
Meskipun begitu PLUS tetap memberi peringatan terhadap keperluan kepatuhan SOP Covid-19.
”Mereka diingatkan untuk tetap mengikuti SOP MKN termasuk memeriksa MySejahtera, mengambil suhu, memakai topeng muka yang betul, menjaga penjarakan fizikal, dan sentiasa memastikan kebersihan tangan mereka kerana ia masih merupakan sebahagian SOP di sepanjang lebuh raya kami,” jelasnya.
Keselamatan dan keselesaan tetap menjadi keutamaan, maka kakitangan PLUS yang terdiri daripada PLUSRonda, pasukan keselamatan dan penyelenggaraan lebuh raya serta kakitangan perkhidmatan pelanggan di seluruh laluan sepanjang 1,130 km sentiasa bersedia untuk sebarang kemungkinan.
Kerjasama dengan Polis Trafik dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga meningkatkan penguatkuasaan di lebuh raya yang memberi ketenangan kepada pelanggan lebuh raya.
Semua kemudahan awam di 29 R&R PLUS dan 50 Hentian Sebelah sentiasa dibersihkan mengikut jadual pembersihan yang ketat sebagai sebahagian daripada komitmen jangka panjang PLUS untuk memastikan kebersihan dikekalkan kerana kemudahan seperti surau dan tandas dibuka 24 jam sehari.
Pelanggan lebuh raya juga mempunyai pilihan untuk menikmati tawaran makanan yang disediakan rakan perniagaan R&R terpilih melalui fungsi pra-pesanan
https://orderdisini.plus.com.my/ untuk di bawa pulang. – MalaysiaGazette