Pengurusan tertinggi UPNM mengikuti Forum Wilayah ASEAN Ke-24, Mesyuarat Ketua-ketua Universiti, Kolej, Institusi Pertahanan (ARF HDUCIM) yang diadakan secara dalam talian.

KUALA LUMPUR – Malaysia antara 27 negara ASEAN yang turut menyertai Forum Serantau ASEAN Ke-24, Mesyuarat Ketua-ketua Universiti, Kolej, Institusi Pertahanan (ARF HDUCIM) yang diadakan secara dalam talian bermula 4 Oktober lalu.

Menurut kenyataan Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM), forum berakhir Rabu lalu itu turut disertai Korea Selatan, China, Jepun, India, Kanada, New Zealand dan Australia.

Kata kenyataan itu, ARF HDUCIM memberi peluang kepada pengurusan kanan universiti, kolej dan institusi pertahanan dari negara peserta ARF untuk membincangkan isu keselamatan serantau serta mengadakan kerjasama penyelidikan untuk menguatkan jaringan di bawah payung akademik.

Persidangan kali ini dipengerusikan Universiti Pertahanan Nasional Islamabad, Pakistan dengan UPNM bertindak sebagai pengerusi bersama, yang mana secara tradisinya pengerusi bersama ini menjadi tuan rumah pada persidangan akan datang.

Delegasi Malaysia diketuai Lt. Jen. Datuk Hasagaya Abdullah selaku Naib Canselor UPNM dan dihadiri pengurusan tertinggi universiti, wakil Kementerian Pertahanan, Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Dalam Negeri.

Hasagaya juga mempengerusikan sesi ketiga 3 dengan sub-tema bertajuk, Collaboration and Cooperation for Peace.

Seramai tiga pembentang dari UPNM turut menyumbang idea dalam forum berkenaan, iaitu Prof. Dr. Adam Leong Kok Wey, Lt. Jen (B) Datuk Fadzil Mokhar dan Prof. Datuk Dr. Jesbil Singh Sandhu.

Turut diadakan ialah mesyuarat bilateral antara delegasi Malaysia dengan delegasi dari New Zealand dan Brunei Darussalam.

“Perbincangan tertumpu kepada aspek kerjasama antara institusi pengajian serta pertukaran kepakaran dalam mendepani situasi semasa.

“Delegasi Malaysia juga telah mempromosikan Maktab Ketahanan Nasional sebagai produk baharu Pusat Pengajian Pertahanan Nasional,” kata kenyataan itu.

Perbincangan bilateral itu dipengerusikan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Mujahid Ahmad Zaidi serta Penolong Naib Canselor (Perkhidmatan, Jaringan Industri dan Hal Ehwal Korporat), Datuk Dr. Junaidah Kamarruddin.

Di akhir acara, Pakistan telah menyerahkan sesi penganjuran ARF HDUCIM ke-25 pada tahun 2022 kepada Malaysia, yang kemudian mencadangkan dua tarikh penganjuran di Kuala Lumpur iaitu 26 hingga 29 September atau 3 hingga 6 Oktober. – MalaysiaGazette