Asma Harun. foto FB

KUALA LUMPUR – Selepas pendakwah bebas yang juga Pencetus Ummah Syed Mohd. Bakri Syed Ishak atau PU Syen, pendakwah terkenal Asma Harun turut melahirkan rasa kesal dengan sikap usahawan kontroversi Liana Rosli atau Kak KM yang seolah-olah tidak menghiraukan teguran.

Asma berkata, beliau turut terkejut dengan beberapa aksi Liana ketika mempromosikan produknya dan paling terkilan apabila turut melibatkan anak usahawan itu.

“Sungguh, saya terkesima melihat beberapa video beliau dan lagi terkilan apabila turut melibatkan si anak… maaf saya tak sanggup tengok lebih banyak.

“Ia ditonton oleh ribuan tanpa sekatan dan tapisan, pelbagai peringkat umur dan jantina. Apa yang mereka fikir dan rasa saat melihat tak boleh dibayangkan kesan buruknya.

“Ini sebuah barah yang makin kronik dalam masyarakat, terutama dalam kalangan founder produk seumpamanya,” katanya menerusi perkongsian di Facebook miliknya.

Sebelum ini, Liana sering menjadi sebutan pengguna media sosial selepas bertikam lidah dengan PU Syed selepas pendakwah itu menegur  kaedah pemasaran keterlaluan dan lucah yang digunakan di media sosial.

Namun Liana membalas dan menuduh PU Syed cuba menumpang populariti, selain mendakwa Syed seolah-olah melakukan ‘kerja Tuhan’ apabila menegur teknik pengiklanan lucah yang digunakannya.

Sementara itu, Asma menerusi posting yang sama turut menegur secara umum tentang sikap peniaga yang lebih mementingkan keuntungan berbanding keredaan Allah.

“Kalian teruja apabila tontonan di media sosial meningkat, begitu juga jualan walaupun dengan jalan maksiat yang dilakukan secara terbuka atas tujuan marketing.

“Kerana ingin mengaut keuntungan dunia yang sementara, harga dan maruah diri wanita Muslim sanggup digadaikan begitu saja, jika iman tidak boleh menghalang, di mana perginya rasa malu dalam diri?” katanya.

Selain itu Asma turut mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dalam berkongsi foto atau video di media sosial kerana bimbang jika tidak sempat dipadam sebelum datangnya ajal.

“Pernahkah terfikir bagaimanakah jika suatu hari nanti dipanggil bertemu Allah… dalam keadaan sudah masuk ke liang lahad, namun dosa masih berjalan kerana video-video dengan aksi sebegitu masih kekal berada di media sosial.

“Nauzubillahiminzalik. Moga sempat dipadam oleh diri sendiri bukan waris, kerana itu adalah tanda sempat bertaubat sebelum mati,” katanya. – MalaysiaGazette