Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meletakkan plak Hari Sukan Negara (HSN) sebagai simbolik perasmian HSN 2021 di Menara Kementeri Belia dan Sukan, Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Jumlah penyertaan dalam aktiviti sukan melepasi 1.4 juta peserta sejak sektor tersebut dibuka semula pada 9 September lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penyertaan itu melibatkan ribuan aktiviti yang bermanfaat termasuk sukan bermotor dan sukan ekstrem.

“Prosedur operasi standard (SOP) sektor sukan dan rekreasi yang digubal dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) merupakan inisiatif awal bagi memastikan aktiviti sektor ini dapat beroperasi semula.

“Kejayaan demi kejayaan yang dibuktikan melalui pelaksanaan PPN akhirnya mendorong kepada pembukaan semula aktiviti sukan dan rekreasi pada 9 September dan sejak itu aktiviti sukan kembali rancak dengan pematuhan terhadap SOP yang ketat,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian pada Majlis Pelancaran Hari Sukan Negara (HSN) 2021 di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Putrajaya, hari ini.

Justeru, beliau bersama KBS yakin kesemua aktiviti yang dilaksanakan secara hibrid itu akan disertai lebih ramai ahli Keluarga Malaysia menjelang penghujung tahun ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan sedia maklum bahawa seluruh ekosistem sukan sememangnya menerima kesan yang hebat ekoran pandemik Covid-19.

Katanya, sukan yang merupakan sebahagian daripada aktiviti sosial tidak dapat dilakukan secara bebas dan paling membimbangkan adalah kesan terhadap industri sukan.

“Saya difahamkan bermula 1 Januari sehingga 31 Disember tahun lalu sebanyak 1,968 buah perniagaan berkaitan sukan terpaksa menamatkan operasi kerana kekurangan modal pusingan, tidak dapat menampung kos operasi dan sebagainya.

“Sebahagian besar daripadanya ialah promoter dan penganjur acara sukan, perniagaan runcit barangan sukan, pusat kecergasan serta instruktur sukan.

“Seiring prinsip kerajaan memastikan ‘tiada rakyat yang tercicir atau terpinggir’, segala keresahan dan kebimbangan yang dirasai oleh para penggiat sektor sukan terus diberi perhatian oleh kerajaan.

“Bagi membantu penggiat industri sukan yang terjejas, KBS pada 5 Julai lalu telah pun mengumumkan beberapa Inisiatif Prihatin Belia dan Sukan (IPBS) khusus untuk penggiat industri sukan di Malaysia yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Inisiatif-inisiatif tersebut diwujudkan sebagai usaha KBS dalam menambah nilai dan menyokong pelaksanaan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih),” ujarnya. – MalaysiaGazette