Datuk Seri Abd Jalil Hassan. Foto HAZROL ZAINAL, 28 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Polis sedang menjalankan siasatan berhubung ciapan sebuah akaun Twitter yang mengandungi kenyataan tidak benar berkaitan senarai kematian 41 orang guru akibat vaksin Covid-19.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan yang mengesahkan perkara itu berkata, pihaknya menerima laporan yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhadap akaun Twitter dikenali sebagai @khalids.

“Ciapan pemilik akaun Twitter berkenaan mengandungi kenyataan tidak benar mengenai senarai kematian 41 guru disebabkan oleh vaksin.

“Kenyataan tersebut yang dimuat naik semalam menerima sebanyak 52 ulang kicau, 1,168 ‘quote tweet’ dan 70 sukaan serta telah mengundang pelbagai reaksi dan maklum balas,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Abd Jalil turut menasihati orang ramai supaya lebih cakna dan peka terhadap pihak-pihak yang cuba mengganggu kelancaran program vaksinasi yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan.

Tambah beliau, orang ramai juga digesa untuk menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform tersebut untuk menyebarkan sebarang maklumat yang tidak pasti kesahihannya sehingga boleh mendatangkan kegentaran awam.

“Tindakan tegas tanpa kompromi bakal dikenakan terhadap mana-mana individu yang sengaja menggangu gugat ketenteraman serta keselamatan awam,” ujarnya.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan kerana dengan niat hendak mengapikan atau mungkin mengapikan mana-mana golongan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Ciapan di akaun Twitter Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin semalam

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menerusi satu ciapan memaklumkan beliau telah meminta laporan dibuat terhadap pemilik akaun @khalids kepada Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya dan Multimedia atas penyebaran berita palsu berkenaan vaksinasi Covid-19. – MalaysiaGazette