KUALA LUMPUR – Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mengakui ketiadaan penyerang, Saddil Ramdani susulan kecederaan memberi kesan kepada pasukan sekali gus mengharapkan sentuhan pemain muda dalam saingan TM Piala Malaysia, musim ini.
Pemain import dari Indonesia itu mengalami kecederaan pangkal peha yang serius dan terpaksa melupakan pentas TM Piala Malaysia apabila perlu menjalani proses pemulihan sekurang-kurangnya tiga bulan.
Namun, Kim Swee percaya taruhan pemain muda seperti Harith Naem Jaineh mampu mengisi posisi yang ditinggalkan itu untuk memperkuatkan pasukan apabila dia pernah diberi kepercayaan untuk berada dalam kesebelasan utama ketika perlawanan kedua TM Piala Malaysia menentang Kelantan FC tempoh hari.
Bagaimanapun, beliau enggan terlalu fokus untuk meletakkan sasaran tertentu terhadap saingan berprestij ini sebaliknya misi utama adalah untuk memulihkan kembali prestasi pasukan bagi persiapan menghadapi musim 2022.
“Sekarang, bukan Saddil sahaja yang cedera, kita ada pemain lain juga yang masih berdepan kecederaan seperti Maxsius Musa dan Rawilson Batuil di mana ini akan memberi impak juga kepada kita.
“Namun, saya percaya pemain-pemain muda akan mampu ambil alih tugas yang akan diberikan termasuklah pemain senior seperti Amri Yahyah, Nazirul Naim dan N.Thanabalan dapat bantu beri pendedahan yang baik kepada pemain muda ini.
“Cuma sekarang, kita tidak mensasarkan apa-apa untuk layak ke peringkat yang lebih tinggi, tetapi mestilah apabila bersaing dalam setiap kejohanan, kita perlu tunjuk prestasi yang baik dan semua maklum apabila saya datang ke Sabah adalah untuk pastikan kita mempunyai daya saing yang amat baik.
“Saya tidak boleh katakan kita tak mampu layak atau kita mampu layak sejauh mungkin dalam Piala Malaysia sebab apabila saya hadir di sini adalah untuk memastikan pemain kekal fokus dan kenal pasti setiap kelemahan bagi kita sama-sama perbaiki untuk bersedia pada musim akan datang”, jelasnya kepada Liga Bola Sepak Malaysia di sini.
Selepas lebih satu minggu bekas pengendali skuad kebangsaan ini bersama Sabah FC, Kim Swee mengakui suasana yang cukup berbeza dirasainya selepas sekian lama tidak membimbing kelab tempatan.
Jelasnya, bergelar ketua jurulatih sesebuah pasukan bukan hanya untuk kepuasan semata-mata tetapi keputusan yang diraih dalam perlawanan itu yang memainkan peranan cukup penting.
“Tentunya perasaan berbeza yang saya rasai sekarang kerana apabila memegang jawatan sebagai pengarah teknikal, saya lebih menumpukan program-program di peringkat akar umbi, tetapi apabila kembali melatih pasukan, tentunya itu satu perkara yang lain saya dapat rasa apabila berada di padang.
“Yang penting di sini bukan sahaja untuk merasa puas, tetapi keputusan perlawanan itu yang penting apabila melatih kelab untuk memastikan kita sentiasa berada di tahap yang terbaik demi pasukan”, tambahnya.
Terdahulu, Kim Swee dilantik sebagai pengendali baharu Sabah FC bagi menggantikan jurulatih dari Indonesia Kurniawan Dwi Yulianto yang direhatkan susulan kemerosotan prestasi pasukan itu dalam saingan Liga Super.
Sabah FC kini menduduki tangga kedua Kumpulan D TM Piala Malaysia dengan dua mata setakat ini selepas seri dalam dua perlawanan terdahulu selain Johor Darul Ta’zim (JDT) di kedudukan teratas.
PJ City FC dan Kelantan FC pula masing-masing belum meraih sebarang kemenangan dan hanya mengumpul satu mata sahaja setakat ini. – MalaysiaGazette