KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) mengingatkan operator-operator pengangkutan awam bagi semua sektor darat, udara dan maritim seperti agar tidak leka serta sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Sektor tersebut melibatkan pengusaha bas ekspres, rel, teksi, e-hailing, syarikat penerbangan, pengusaha feri dan kapal.
Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, semua operator perlu memastikan setiap penumpang atau pengguna perkhidmatan pengangkutan awam menunjukkan sijil vaksinasi bagi membuktikan mereka telah lengkap divaksinasi sebagai mana yang dikehendaki dalam SOP bagi tujuan rentas negeri.
Pematuhan-pematuhan SOP lain seperti memakai pelitup separuh muka dan kerap mencuci tangan atau menggunakan cecair pembasmi kuman juga perlu dipatuhi tanpa kompromi.
Para pengguna pengangkutan awam turut digalakkan membuat ujian saringan Covid-19 kendiri sebelum memulakan perjalanan rentas negeri bagi melindungi diri sendiri, keluarga dan orang di sekeliling.
Dalam perkembangan sama, Ka Siong berkata, walaupun rakyat Malaysia yang ingin ke luar negara juga kini tidak lagi perlu memohon My Travel Pass sebagaimana yang diperlukan sebelum ini.
Namun, pengembara yang baru pulang ke tanahair masih perlu kuarantin wajib sebagai usaha mengekang penularan wabak Covid-19. – MalaysiaGazette