KUALA LUMPUR – Meskipun aktiviti rentas negeri dibenarkan bermula hari ini, namun kegembiraan rakyat menyambut berita itu diiringi dengan waspada.
Kes harian positif Covid-19 menurun daripada lima angka ke empat angka bukan faktor untuk rakyat mengabaikan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengawal penularan pandemik.
Menurut Hazri Hussin, 53 tahun, setiap rakyat negara ini berhak untuk gembira dan teruja bila kebenaran rentas negeri diberikan.
Namun katanya, setiap individu perlu melaksanakan langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan jangkitan harian kembali meningkat.
Ujarnya, ujian kendiri adalah perkara yang sangat digalakkan untuk dilakukan sebelum pulang ke kampung.
“Pada saya satu keluarga sebelum balik kampung akan buat ujian kendirian. Kalau semua negatif baru akan balik dan balik semula ke sini pun akan buat sedemikian. Ia adalah langkah berjaga-jaga daripada kita sendiri.
“Gembira boleh nak rentas negeri balik kampung sebab sudah lama kan. Tapi perlu berhati-hati patuhi SOP dan ujian kendiri lakukanlah sebaiknya,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Begitu juga bagi Samsuri Ahmad, 61 tahun yang berpendirian ujian kendiri adalah langkah paling digalakkan sebelum bertemu keluarga di kampung.
Jelasnya, kerajaan telah bertoleransi dengan mengurangkan harga kit ujian di pasaran demi memudahkan rakyat.
Tambahnya, SOP adalah perkara yang tidak patut dipinggirkan walaupun rakyat dalam negara majoriti telah lengkap menerima vaksin.
“Terima kasih kepada kerajaan membenarkan rentas negeri dan balik kampung jumpa keluarga. Langkah yang perlu diambil patuhi SOP dan perlu buat ujian kendiri untuk lindungi diri dan keluarga yang kita ziarah.
“Turunkan harga kit ujian langkah terbaik untuk mudah didapati cepat kan. Ini satu bikmat gunakannya sebaik mungkin jangan langgar suka hati,” kata anak jati Johor itu.
Marlinda Sarbit, 43, berpendirian, individu yang masih belum lengkap divaksin untuk menangguhkan perjalanan rentas negeri sebagai langkah mengurangkan risiko jangkita.
“Kita sudah seronok pastinya dapat balik kampung halaman masing-masing selepas hampir dua tahun. Jadi saling jaga SOP masing-masing. Yang belum dapat lengkap vaksin janganlah balik dulu. Berjaga-jagalah,” katanya.
Namun untuk golongan yang enggan divaksin, Abdul Halim Abu Bakar, 47, berkata, individu seperti itu sepatutnya dikenakan tindakan sekiranya negara mahu mencapai 100 peratus tahap vaksinasi dan rakyat dilindungi.
Walaupun beliau dan isteri telah lengkap divaksin, Abdul Halim memilih untuk menangguh perjalanan kerana anaknya yang berusia di bawah usia 12 tahun masih belum layak menerima vaksin.
Pendiriannya itu kata beliau, merupakan tanggungjawabnya melindungi diri dan keluarganya.
“Ini adalah tanggungjawab individu setiap orang perlu memahami apa kesan kalau tidak jaga SOP. Tapi kalau kita lihat sekarang ini SOP mula diabaikan, pelitup muka memang wajib tapi penyediaan cecair nyah kuman ada yang tidak amalkan.
“Rentas negeri semua orang nak tapi saya dari Terengganu lama dah tak balik kampung dari bulan Januari, memang rancang nak balik tapi sebab ada anak yang belum divaksin saya cuba tunggu sebab kerajaan akan memberi vaksin kenaka-kanak bawah 12 tahun, selepas itu barulah saya senang hati nak balik kampung nak pergi bercuti.
“Ini tanggungjawab dan kesedaran individu. Yang tak nak divaksin pada saya pentingkan diri. Orang sebegini perlu diambil tindakan, diberi tekanan supaya mengambil vaksin tekanan yang saya maksudkan mendenda, tubuh undang-undang baru untuk anti vaksin,” kata beliau.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan rakyat Malaysia yang lengkap dua dos vaksin boleh merentas negeri termasuk pulang ke kampung halaman tanpa perlu mendapatkan kebenaran polis.
Keputusan itu dibuat selepas penilaian risiko Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan kadar vaksinasi lengkap 90 peratus populasi dewasa di bawah Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). – MalaysiaGazette