Pelakon drama dan filem Muhamad Niezam Mohd Zaidi dan dua yang lain hari ini mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar atas tuduhan memiliki dadah.

KUALA KANGSAR – Pelakon drama dan filem Muhamad Niezam Mohd Zaidi dan dua yang lain hari ini mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar atas tuduhan memiliki dadah.

Muhamad Niezam, 29, bersama pengarah Mohd Latif Zami, 49, dan penolong pengarah Saiful Zaidrin Ismail, 43, mengaku bersalah atas tuduhan memiliki dadah jenis cannabis dan methamphetamine.

Ketiga-tiga mereka, mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Mohd Shazmeer Zamhari.

Muhamad Niezam dan Mohd Latif didakwa masing-masing memiliki 1.15 gram dan 0.3 gram dadah jenis cannabis di sebuah rumah di No 835, Persiaran Jati, Taman Chandan Putri 2, di sini pada 7.15 pagi, 10 Okt lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Saiful Zaidrin pula, didakwa memiliki 0.38 gram dadah berbahaya jenis methamphetamine pada tempat, tarikh dan masa sama dan dituduh mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Syuhada Muhammad Lutfi menawarkan jaminan RM6,000 bagi Muhamad Niezam dan Mohd Latif manakala RM8,000 bagi tertuduh ketiga.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Intan Shafini Mior Shahrin yang mewakili kesemua tertuduh memohon jaminan rendah dengan alasan anak-anak guamnya baharu sahaja memulakan penggambaran pertama sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum.

Mahkamah membenarkan Muhamad Niezam dan Mohd Latif masing-masing diikat jamin RM3,000 dan RM2,600 manakala jaminan RM3,200 bagi Saiful Zaidrin berserta seorang penjamin.

Majistret Mohd Shazmeer Zamhari kemudian menetapkan 1 Dis depan untuk sebutan semula kes bagi laporan kimia.

Terdahulu, kesemua tertuduh tiba di bangunan mahkamah kira-kira jam 12 tengah hari dengan pakaian lokap polis berwarna ungu.

Mengikut kenyataan polis sebelum ini, kesemua mereka ditahan di set lokasi penggambaran di sebuah rumah inap desa di taman tersebut.

Muhamad Niezam Mohd Zaidi sebelum ini terkenal dengan lakonan di dalam filem Budak Pailang dan Highland Tower, selain drama seperti Diari Platun, Dewi Lasak dan Mencintaimu.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast