Wan Mohizan Wan Hussein (Kredit: Bomba)

BALIK PULAU – Seorang nelayan yang juga bekas jurugambar sebuah akhbar bahasa Inggeris yang dilaporkan hilang ketika keluar menangkap ikan semalam, ditemukan selamat di Pulau Kendi dekat sini awal pagi ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kehilangan mangsa Wan Mohizan Wan Hussein, 55, pada 8.18 malam tadi.

“Sebaik menerima maklumat berhubung kehilangan mangsa, pihak bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang dengan bantuan polis.

“Berdasarkan maklumat awal daripada nelayan, tiada petunjuk mengenai kedudukan mangsa atau bot di lokasi dan pihak kami menjalankan operasi di kawasan dipercayai mangsa selalu menangkap ikan, operasi ditangguhkan pada 11.30 malam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata pihak bomba menerima maklumat daripada polis mengenai penemuan mangsa pada 6.30 pagi tadi dan difahamkan Wan Mohizan yang memakai jaket keselamatan berenang ke Pulau Kendi, sebaik bot yang dinaikinya terbalik.

Beliau berkata nelayan itu keluar ke laut pada 3 petang semalam sebelum botnya terbalik dipercayai akibat dipukul ombak dan mangsa berenang ke Pulau Kendi serta diselamatkan oleh nelayan dan dibawa ke Jeti Pantai Malindo, Jalan Kuala Sungai Burung, di sini.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast