Penggunaan teknologi dron T20 di sawah mampu mempercepatkan proses membaja serta kawalan makhluk perosak dan penyakit oleh petani.

KUALA LUMPUR – FGV Holdings Berhad (FGV), syarikat perniagaan agri dan makanan negara bersedia merancakkan pasaran beras wangi tempatan menerusi anak syarikatnya FGV Integrated Farming Holdings Sdn Bhd (FGVIF).

Ini dibuktikan menerusi kejayaan pelaksanaan program Beras Wangi Fortified Field™ (3FR) FGVIF yang berupaya mengoptimumkan penanaman padi wangi tempatan melalui amalan dan teknologi pertanian pintar serta berkesan.

Penggunaan teknologi dron T20 di sawah mampu mempercepatkan proses membaja serta kawalan makhluk perosak dan penyakit oleh petani

Mohd Nazrul Izam Mansor, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV berkata, kumpulan menyasar 3.5 peratus penguasaan beras wangi tempatan pada akhir 2025 di bawah jenama unggul FGV, SAJI.

”FGV komited untuk meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) industri beras di Malaysia dan ianya dapat dilakukan menerusi program 3FR FGV yang menyokong program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB), yang dimulakan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI). SMART SBB dijangka dapat membantu negara mencapai 75 peratus tahap SSL beras seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12),” katanya.

Matlamat FGV supaya beras wangi SAJI FGV menjadi pilihan rakyat Malaysia dan dunia pada masa akan datang.

Dengan kemampuan dalaman, sumber daya dan pelbagai aplikasi teknologi FGV, beras wangi tempatan yang dihasilkan berkualiti tinggi dan setanding dengan beras import dari Thailand.

Melangkah ke hadapan, FGV merancang untuk mengembangkan lagi kawasan penanaman padi wangi kepada 10,000 hektar dalam tempoh lima tahun akan datang,” sambung Mohd Nazrul.

Program 3FR ini menggabungkan kepakaran FGV dalam peningkatan prestasi sawah menerusi Pertanian 4.0 dan ketepatan perladangan yang menjimatkan dan lestari.

Ini termasuk menerapkan penggunaan teknologi dalam perladangan seperti mekanisasi, dron, Internet Kebendaan (IoT), sensor sawah, kawalan makhluk perosak dan penyakit, serta mesin penanaman padi automatik.

Menurut FGV, semua produk sampingan yang terhasil dari perladangan sawah padi dan kilang beras wangi seperti dedak dan sekam padi tidak dibazirkan, dan digunakan sebagai komponen dalam makanan ternakan FGV di bawah jenama Alma.

Penggunaan Kubota SPV8 bagi penanaman padi secara automatik antara teknologi mekanisasi yang digunakan FGVIF dalam program SMART SBB di IADA Barat Laut, Selangor dan IADA di Seberang Perak, Perak

“Program 3FR ini dengan pantasnya menjadi sistem tanaman pilihan para petani. Bagi membantu meningkatkan hasil padi, FGV menyediakan bantuan sokongan dan bimbingan berterusan kepada mereka di samping menyediakan prosedur operasi standard (SOP) bagi memeriksa dan memantau tanaman secara berjadual.”

”Kami juga aktif dalam mempromosikan penanaman benih padi wangi MRQ76 yang dihasilkan oleh Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI) dalam kalangan petani kontrak FGV.

”Memandangkan ekonomi negara kini dalam fasa pemulihan, inilah masanya untuk kita ‘membeli barangan tempatan’. Apabila pengguna membeli beras wangi kami, mereka secara lansung membantu kehidupan para petani tempatan. Selain itu, petani yang menanam padi wangi ini turut berpeluang meningkatkan pendapatan mereka. Setiap tuaian tanaman padi wangi menawarkan pulangan sehingga RM1,540 setiap tan metrik (MT), berbanding RM1,200 setiap MT bagi jualan beras biasa,” jelas Mohd Nazrul.

Usaha pemasaran yang sedang dijalankan termasuk mengukuhkan kesedaran pengguna menerusi pelantar e-dagang iaitu Gogopasar, selain bekerjasama dengan pemain industri makanan yang berkaitan. Bagi meningkatkan lagi capaian pengguna terhadap bekalan beras wangi tempatan, FGV telah menggiatkan lagi pengambilan agen jualan di seluruh negara di samping meningkatkan kapasiti pasukan pemasarannya.

Ketika ini, program 3FR FGV sedang dilaksanakan di sawah jelapang berkeluasan 500 hektar di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut di Selangor, dan 100 hektar di IADA Seberang Perak, Perak bersama 260 orang petani kontrak tempatan yang dilantik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast